KAJANG — Penumpang Keretapi Tanah Melayu (KTM) dari stesen Kajang 2 berpeluang menikmati perjalanan sehala secara percuma mulai esok hingga Ahad, 16 April.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tawaran perkhidmatan percuma itu terpakai dari stesen berkenaan ke mana-mana stesen KTM menghala ke stesen Batu Caves atau stesen Pulau Sebang.
“Sempena pelancaran KTM yang baru ini, esok hingga Ahad boleh pakai (perkhidmatan dari KTM Kajang 2) untuk pergi membeli-belah sebelum raya Aidilfitri. Tren boleh sampai ke Midvalley, KL Sentral,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Stesen Kereta Api Kajang 2, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah; Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Azhar Ahmad.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan; Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Ramal, Mazwan Johar; dan Senator Datuk Dr Ras Adiba Mohd Radzi.
Dalam ucapan perasmiannya, Anthony berkata, pembinaan stesen Kajang 2 akan meningkatkan kebolehhunian di kawasan tersebut sekaligus mewujudkan gaya hidup berkualiti.
“Ia boleh diakses melalui beberapa lebuh raya utama antaranya SILK Highway, Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Cheras-Kajang dan Lebuhraya SKVE.
“Saya optimis pembinaan stesen Kajang 2 ini akan merubah wajah Kajang 2 ini kepada kawasan yang berdensiti tinggi dan lebih baik dalam tempoh 10 tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Loke juga meminta pihak bas Rapid dan Smart Selangor untuk menjadikan stesen Kajang 2 sebagai salah satu hentian untuk mengambil dan menurunkan penumpang. -MalaysiaGazette