BUTTERWORTH – Sebanyak 717.1 metrik tan ikan tuna direkodkan dibawa masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Dermaga Air Dalam di sini sejak 2022 hingga Mac lalu.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, hasil pemeriksaan dilakukan mendapati kesemua hasil tangkapan dibawa masuk daripada Perairan Lautan Hindi itu mematuhi aspek yang ditetapkan kerajaan.

“MAQIS bertanggungjawab dalam melakukan aktiviti pemeriksaan terhadap dagangan ikan tuna yang dibawa masuk daripada Perairan Lautan Hindi.

Ikan tuna dibawa masuk mengikut aspek yang ditetapkan kerajaan.

“Tatacara pemeriksaan yang teliti dilakukan bagi dagangan ini sebelum dibenarkan masuk ke dalam negara bagi memastikan aspek kualiti terpelihara dan terhindar dari sebarang ancaman biosekuriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Ikram berkata, pihaknya bertanggungjawab sebagai benteng utama menjaga keterjaminan bekalan makanan dan keselamatan makanan khususnya keluaran pertanian yang diimport ke dalam negara.

“Bagi memastikan tanggungjawab itu terus diperkasa, Maqis akan terus mengetatkan penguatkuasaan undang-undang negara iaitu melalui Akta MAQIS 728.

717.1 metrik tan ikan tuna dibawa masuk sejak 2022.

“Fokus kami selari dengan hasrat Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan yang memberi tumpuan utama terhadap keterjaminan sekuriti makanan kepada negara.

“Maqis sentiasa komited dalam melaksanakan tugasan di pintu sempadan perairan negara bagi memastikan komoditi keluaran pertanian yang dibawa masuk ke dalam negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan untuk menjamin kualiti serta keselamatan makanan,” katanya. – MalaysiaGazette