Keadaan kereta Perodua Myvi yang remuk selepas terbabas mengakibatkan dua lelaki maut ketika dalam perjalanan ke bazar Aidilfitri Masjid Tanah, Melaka tengah malam tadi.

ALOR GAJAH – Hasrat seorang lelaki dan anak saudaranya keluar berbelanja untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan di Jalan Lendu, Masjid Tanah di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian tepat pukul 12 tengah malam itu, mangsa yang maut dikenali Muhammad Hasraf Amin Hasrin, 23, dan bapa saudaranya, Mohd Firdaus Yusof, 38.

Menurutnya kemalangan turut melibatkan seorang lagi saudara mangsa yang merupakan penumpang belakang dikenali Azizul Hamis@Jainy yang mengalami kecederaan parah di kepala selepas kereta jenis Perodua Myvi dinaiki terbabas sendiri.

“Siasatan awal mendapati kereta dipandu Muhammad Hasraf dari arah Taman Dimensi Lendu menuju ke arah Masjid Tanah untuk berbelanja di bazar Aidilfitri dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar sebatang pokok di bahu kiri jalan.

“Akibatnya, pemandu dan bapa saudaranya itu yang duduk di kerusi penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang belakang yang juga bapa saudara Muhammad Hasraf cedera parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Arshad, mayat kedua-dua mangsa dibawa Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang parah ditempatkan ke Zon Merah hospital sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette