golden son of the kadazan
Kulit muka depan buku The Golden Son of the Kadazan. (Sumber: Internet)

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa kerajaan membatalkan pengharaman buku bertajuk The Golden Son of the Kadazan yang ditulis oleh Bernard Sta Maria.

Menurut beliau, buku itu adalah sebuah biografi mengenai arkitek utama Sabah Baharu di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang turut dianggotai pemimpin USNO, mendiang Datuk Peter Mojuntin.

“Saya gesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk membaca buku Bernard ini kerana beliau tidak akan menjumpai apa-apa sebab dalam buku ini yang boleh menjadi alasan kepada pengharamannya.

“Seperti mana tidak ada sebab sama sekali untuk laporan nahas Double Six dirahsiakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) selama 47 tahun,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kulit muka depan buku The Golden Son of the Kadazan. (Sumber: Internet)

Peter merupakan salah seorang daripada menteri Sabah yang terkorban dalam nahas udara Double Six di Kota Kinabalu pada 6 Jun 1976.

Turut terkorban dalam nahas tersebut ialah Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens serta dua lagi menteri di negeri itu, Datuk Salleh Sulong dan Datuk Chong Thien Vun.

Buku The Golden Son of the Kadazan diharamkan oleh kerajaan pada 22 Jun 1978 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Kit Siang memberitahu, Bernard telah menggambarkan Peter secara tepat sebagai seorang rakyat Malaysia yang patut dijadikan teladan.

Beliau menyifatkan Peter telah terinspirasi dengan prinsip-prinsip asal Malaysia seperti yang diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara dalam Perlembagaan dan Rukun Negara untuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.

“Di mana Malaysia menjadi contoh persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara kumpulan etnik, agama, budaya dan tamadun, dan bukannya menjadi negara di mana berlakunya penindasan keagamaan dan diskriminasi,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast