Rafizi melakukan pra-pelancaran program Innovaton di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Idea yang dilahirkan oleh bakat boleh menjayakan sesebuah syarikat digital dan teknologi selain menarik ahli peniagaan antarabangsa untuk melabur di Malaysia.

Silicon Valley di Carlifornia, Amerika Syarikat dan beberapa negara Asia seperti Singapura dan Indonesia mencipta kejayaan dan menerima pelaburan asing dalam bidang itu kerana mempunyai bakat yang sentiasa mengeluarkan idea baharu.

Justeru Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menegaskan, kejayaan syarikat dan pasaran digital dan teknologi di Malaysia bukan hanya disebab insentif, geran dan dana yang diberikan oleh kerajaan.

Sebaliknya, kualiti dan bilangan bakat baharu yang besar sama penting kerana ia akan memberikan isyarat kepada pelabur bahawa Malaysia mempunyai syarikat unicorn atau syarikat pemula yang berkualiti.

“Disebabkan kualiti, saiz dan kebolehlaksanaan idea untuk menjadi penyelesaian digital dan produk yang boleh membuat wang.

“Jika anda pelabur, pengurus dana, anda mahu pergi ke negara yang anda boleh dapati banyak inovasi dan idea yang bercambah dengan banyak jumlah bilangan syarikat teknologi yang meningkat.

“Bandingkan kita dengan Singapura berapa banyak syarikat teknologi yang lahirkan idea setiap tahun? Bandingkan Indonesia, kenapa mereka pergi ke sana? Sebab pasaran besar dan kemungkinan idea ditukar kepada produk komersial adalah tinggi,” kata Rafizi.

Menurut Rafizi, kemerosotan budaya inovasi dalam masyarakat merencatkan usaha negara menambah baik kandungan ekonomi ke arah bernilai tinggi.

Katanya, lebih ramai membudayakan inovasi dan melahirkan produk digital dan teknologi yang dikomersialkan lebih banyak syarikat berasaskan ekonomi itu akan berkembang di negara ini.

“Inilah yang kerajaan mahu lakukan iaitu melahirkan kesedaran dan kefahaman tentang pasaran teknologi,” kata Rafizi dalam sidang media.

Beliau sebelum itu melakukan pra-pelancaran rancangan realiti TV Innovaton yang akan disiarkan di Astro pada Jun ini sebagai usaha melahirkan bakat baru yang mempunyai idea dalam bidang digital dan teknologi.

Program realiti itu mendapat kerjasama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang akan memberi peluang kepada rakyat untuk menjana dan mengembangkan idea inovatif yang boleh dikomersialkan sebagai produk digital dan teknologi melalui format hackathon.

Peserta yang berminat boleh menyediakan video ringkas yang menghuraikan idea inovasi mereka dan pelan komersial yang ringkas untuk dihantar secara atas talian.

Video-video akan dinilai dan idea terpilih kemudiannya akan dijemput ke sesi uji bakat fizikal di hadapan panel hakim di enam lokasi di seluruh Malaysia.

Peserta yang mempunyai idea yang terbaik akan mara ke pentas akhir dan berpeluang memenangi modal awal dan sokongan secara langsung untuk membantu mengkomersialkan idea mereka ke pasaran.

Pemenang di peringkat akhir akan diberikan modal untuk
memulakan syarikat pemula mereka dengan bimbingan agensi
kerajaan dan pelabur strategik swasta.

Sejumlah RM1 juta diperuntukkan bagi tujuan modal asas dan modal awal kepada pemenang-pemenang. – MalaysiaGazette