KUALA LUMPUR – Hospital Pakar Al Islam (Al Islam) akan membina blok tambahan di sebelah bangunan sedia dengan kos pembinaan kasar sebanyak RM63 juta dan kos peralatan tambahan selepas pembangunan berjumlah RM10 juta.
Pengarahnya, Dr Ishak Mas’ud berkata, keseluruhan pembangunan ituakan dibiayai oleh gabungan pinjaman dan penjanaan dana dalaman.
Beliau berkata, projek itu dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2026.
“Bangunan sedia ada akan ditambahbaik dan disambungkan dengan blok tambahan mengikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.
“Setelah siap, anggaran kasar keluasan lantai bagi kedua-dua fasa ialah 17,300 meter persegi termasuk tempat letak kereta bertingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Pengangkutan Khas Pesakit Percuma di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru di sini hari ini.
Majlis dirasmikan oleh pada Penaung Tabung Amanah Pesakit Malaysia yang juga isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail .
Mengulas lanjut, Ishak memberitahu, fasiliti semasa hospital itu mengikut pengkhususan rawatan iaitu perubatan, pembedahan, obstetrik dan ginekologi, pediatrik, ortopedik, gastroenterologi dan hepatologi.
Fasiliti lain, kata beliau, adalah oftalmologi, anestesiologi dan penjagaan kritikal radiologi, telinga, Hidung & Tekak (ENT), rheumatologi, nefrologi, psikiatri, kardiologi, dermatologi, urologi dan pergigian.
“Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk perkhidmatan ambulans, penjagaan kecemasan radiologi dan pengimejan (imbasan CT, X-ray dan Ultrasound), Penjagaan Rawatan Rapi Bayi (SCN), makmal 24 jam, fisioterapi, hemodialisis dan High Depency Unit (HDU).
“Seiring dengan pendamik, perkhidmatan baharu telah diperkenalkan iaitu telekonsultasi dan perkhidmatan penjagaan kesihatan di rumah (Home Care Nursing) di sekitar kawasan hospital,” katanya.
Ditubuhkan pada tahun 1994. Al Islam sebelum ini dikenali sebagai Pusat Perubatan Kampong Baru.
Penjenamaan semula kepada Hospital Pakar Al-Islam pada tahun 2008 berikutan hasrat pengasas untuk menjadi perintis ‘Hospital Mesra Ibadah’ dengan mengambil kira status ekonomi dan kebajikan sambil memberikan penjagaan klinikal dam spiritual terbaik kepada masyarakat.
Berada dalam industri selama lebih 20 tahun, mereka telah mencipta nama di Acheh, Indonesia dengan mempunyai pusat maklumat yang menghubungkan pesakit terus ke hospital di Kuala Lumpur.
Hubungan rapat antara Al-Islam dan Acheh telah memberi manfaat bukan sahaja kepada sektor pelancongan perubatan tetapi juga sektor pendidikan dan latihan untuk pelajar kejururawatan di sana. – MalaysiaGazette