Nurul Shuhada Mat Shukri.

KUALA LUMPUR – Isteri pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri mengesahkan dirinya sedang hamil anak ketiga dengan usia kandungan sudah memasuki 10 minggu.

Berkongsi perkara itu menerusi entri terbaharu dalam Instagram (IG), malam tadi, Nurul Shuhada, 29, berkata, dia perlu kuat walaupun sedang berdepan pelbagai tekanan.

“Saya dapatkan rawatan untuk masalah tekanan dan depresi yang dihadapi sekarang. Saya perlu kuat untuk terus jaga Humairah dan Umar. Sekarang termasuk anak dalam kandungan.

“Halangan terbesar sekarang ialah usia kandungan masih awal. Saya tidak boleh ambil ubat hospital untuk kurangkan tekanan.

“Saya takut ia akan memberi kesan kepada bayi dalam kandungan. Sekarang saya kena kuat berjuang tanpa ubat,” tulisnya.

Mengulas lanjut mengenai kehamilannya, Shuhada berkata, dia pengsan ketika menjalani pemeriksaan di hospital, hari ini kerana keadaan badan yang lemah.

“Saya betul-betul takut. Saya tanya pada diri sendiri adakah mampu menghadapi ini. Saya mahu terus kuat untuk anak-anak. Saya mahu melihat anak-anak membesar depan mata,” tulis Shuhada.

Dalam hantaran sama, Shuhada turut meluahkan rasa syukur apabila masih ramai individu yang sentiasa menyokongnya.

“Allah hadirkan orang yang baik-baik. Walaupun tidak kenal, selalu komen bagi sokongan dan kekuatan. Doa yang tak henti-henti.

“Kata-kata sokongan yang banyak bagi sokongan kepada saya. ‘You know who you are’.Terima kasih Allah.

“Terima kasih semua. Tak dapat saya balas budi semua selain terus maju ke depan tanpa toleh belakang lagi,” tulisnya.

Pada 27 Februari lalu, Nurul Shuhada dilaporkan memfailkan perceraian terhadap Hafidz di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.

Sebelum itu, adik Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, memaklumkan Hafidz bercerai talak satu terhadap kakaknya pada 22 Februari lalu menerusi panggilan telefon.

Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast