Ketua jurulatih Manjung City FC, Rafae Isa (kanan).

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Manjung City FC, Rafae Isa sedar Kelantan FC tetap mempunyai kelebihan meskipun kini dibimbing jurulatih baharu, Frank Bernhardt dalam aksi pusingan 16 Piala FA malam ini.

Beliau sedar kredibiliti yang ada pada bekas pengendali UiTM FC itu pastinya akan memberikan sesuatu kepada Kelantan meskipun baru sahaja mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih.

Justeru bagi Rafae, ia tetap akan menjadi perlawanan yang sukar untuk Manjung City dan mahu setiap pemain menerapkan disiplin tinggi dalam mengikuti perancangan yang dibuat bagi memberi tentangan sengit.

Meskipun hadir selaku pasukan bukan pilihan di pentas Piala FA ini, beliau tidak mahu anak buahnya terlalu merendah diri dan percaya mereka mampu untuk melakar kejutan.

“Kita tahu Kelantan memang pasukan yang bagus dan melihat kepada situasi yang berlaku kepada Kelantan ketika ini mungkin akan ada sedikit kelebihan kepada kita juga.

“Tetapi daripada segi tahap prestasi, mereka memang ada kelebihan tersendiri dan saya juga tahu kemampuan yang ada pada Frank (Bernhardt).

“Beliau pernah membimbing pasukan kebangsaan (Bawah 23 Tahun) dan saya percaya mereka mesti ada strategi tertentu untuk mengatasi kita.

“Tetapi kita juga ada strategi tersendiri untuk mengekang mereka supaya tidak mudah untuk menghadapi kita nanti,” jelasnya.

Dalam masa sama, Rafae mengakui sentiasa menilai perlawanan-perlawanan yang telah dihadapi Kelantan FC sebelum ini di pentas Liga Super dan mahu barisan pemain lebih berwaspada terhadap kualiti pemain import mereka.

“Saya memang ada tengok permainan Kelantan FC dan dekat situ kita nampak apa kelebihan dan kekurangan mereka.

“Tetapi keutamaannya adalah jika kita dapat mengekang asakan pemain import mereka, sudah tentu ia akan lebih seimbang dan mereka juga tidak akan mudah untuk atasi kita.

“Pemain saya sekarang dalam keadaan yang terbaik dan mereka tahu apa yang perlu dibuat sebab ada beberapa taktikal yang harus dilakukan daripada pelbagai aspek,” tambahnya.

Selain aksi antara Kelantan FC dan Manjung City, tiga lagi perlawanan pusingan 16 Piala FA malam ini turut membabitkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang PDRM FC, Terengganu FC lawan Melaka FC dan Kuala Lumpur City FC akan berdepan Imigresen FC.

Manakala empat lagi perlawanan akan berlangsung esok. – MalaysiaGazette