Video iklan raya Perkeso bukan sekadar ingin menonjolkan semangat kekeluargaan sempena hari raya yang bakal menjelang.

KUALA LUMPUR – Sempena Syawal tahun ini, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) buat julung kalinya mempersembahkan sebuah video iklan raya bertajuk Bangkit Raya.

Mengangkat semangat ‘kebangkitan’ sebagai tema, video itu membawa pelbagai nasihat supaya membuka mata penonton akan kepentingan perlindungan keselamatan sosial buat diri dan keluarga mereka.

Penekanan terhadap nilai tanggungjawab dan kekeluargaan disampaikan menerusi jalan cerita yang santai serta diselangi unsur komedi.

Melalui video iklan raya ini, Perkeso ingin penonton terus bersemangat, sentiasa berusaha untuk bangkit semula daripada segala kesukaran yang dihadapi.

Menurut Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PERKESO, Roshaimi Mat Rosely, Bangkit Raya mengisahkan semangat kebangkitan seorang pemuda yang menganggur bernama Ayie.

“Beliau asalnya bersikap berat tulang namun setelah kehilangan ayah tercinta, Ayie sedar akan tanggungjawab yang harus dipikul oleh beliau.

“Oleh itu, Ayie bangkit untuk meneruskan legasi perniagaan kuih bangkit keluarga yang selama ini telah menjadi punca pendapatan utama keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Roshaimi menambah, video iklan raya itu bukan sekadar ingin menonjolkan semangat kekeluargaan sempena hari raya yang bakal menjelang.

Jelas beliau, ia mengangkat maksud bangkit iaitu satu perkataan keramat yang boleh mengubah nasib seseorang sekiranya individu tersebut mampu mengubah cara berfikir, mengambil tindakan proaktif demi mencapai matlamat yang diingini berbekalkan sistem sokongan yang baik.

“Selaras dengan tema Perkesoi pada tahun 2023 iaitu ‘Tahun Kebangkitan’, video iklan raya ini juga melambangkan matlamat utama Perkeso yang sentiasa bersedia dalam memberi perlindungan dan bantuan kepada pencarum untuk bangkit semula daripada sebarang musibah yang dihadapi.

“Bersama-sama kita #bangkit dan kekal #Prihatin dengan PERKESO,” katanya.

Sementara itu, video Bangkit Raya kini dapat ditonton di saluran YouTube serta media sosial rasmi PERKESO. – MalaysiaGazette