KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Op Lancar bermula 18 hingga 19 April ini bagi memastikan kelancaran perjalanan sempena sambutan Aidilfitri 2023.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani berkata, operasi berkenaan dilancar di semua kawasan yang dijangka akan berlaku kesesakan aliran lalu lintas.
“Seluruh jentera PDRM di lapangan melibatkan anggota-anggota balai dan elemen kereta seperti peronda (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB), rondaan BIT serta risikan dan operasi akan diatur gerak kerja secara holistik dan sistematik bagi mengerungkan beban kesesakan trafik di lebuh raya dan jalan-jalan negeri serta jalan perbandaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ujar Acryl Sani, polis akan mendapatkan kerjasama daripada pihak Rela untuk membantu penugasan melancarkan aliran trafik.
Sementara itu, katanya, PDRM menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) juga akan melaksanakan Op Selamat selama lapan hari bermula 20 April.
Menurutnya, operasi yang bertemakan ‘Rumah selamat, sampai ke destinasi” itu bertujuan untuk memastikan aliran trafik lancar dan meminimumkan kes kemalangan jalan raya, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan jenayah pecah rumah semasa musim perayaan.
“Juga dalam Op Selamat 20, PDRM akan fokus kepada pengurangan kadar jenayah harta benda seperti kes pecah rumah melalui elemen kereta peronda (MPV), unit rondaan bermotosikal, dan sebagainya.
“Semasa Op Selamat pemantauan udara oleh Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) turut dijalankan bagi memantau dan mengesan lokasi-lokasi di titik panas yang telah dikenal pasti seterusnya menyalurkan info di lapangan,” ujarnya.
Ketua Polis Negara menyeru supaya masyarakat sentiasa peka dengan informasi terkini berkaitan trafik. – MalaysiaGazette