Lebih 50 penduduk kejiranan membabitkan 10 buah rumah di Lorong Jalan Dahlia, Blok 6, Peringkat Dua, Felda Bukit Kuantan, beriftar bersama-sama semalam.

KUANTAN – Jiran sepakat membawa berkat.

Itulah yang dizahirkan oleh sekumpulan kejiranan apabila lebih 50 penduduk membabitkan 10 buah rumah di Lorong Jalan Dahlia, Blok 6, Peringkat Dua, Felda Bukit Kuantan, beriftar bersama-sama.

Lebih menarik, jiran-jiran ‘sporting’ ini berbuka puasa beralaskan tikar di atas jalan di lorong mati kawasan perumahan mereka.

Maslina Mansor, 28,, yang menjadi perancang bagi aktiviti ini berkata, beliau mahu  mengeratkan silaturahim sesama jiran pada bulan Ramadan ini.

Beliau yang sudah tiada ibu bapa merasakan berbuka puasa bersama jiran dapat menghidupkan kembali memori berbuka bersama orang tua dalam keluarga yang besar.

“Saya sudah tiada ibu bapa, jadi bila dapat berbuka puasa dengan jiran-jiran, saya dapat merasa suasana berbuka puasa dengan keluarga besar.

“Lagipun kami memang rapat macam keluarga malah sebelum ini sering  makan ‘bersaing’ (makan beramai-ramai), tetapi kali ini lebih menarik kerana berbuka puasa bersama.

“Kebetulan jalan di blok ini adalah jalan mati, jadi kami memilih untuk bentang tikar di tengah jalan dan berbuka puasa dalam suasana terbuka sambil dapat bertukar juadah,” katanya.

Tinjauan MalaysiaGazette semalam mendapati kumpulan jiran berkenaan mula membuat persiapan tempat dengan menghampar tikar dan menyusun kerusi serta meja seawal jam 6 petang.

Mereka kemudian mula menyusun lauk-pauk yang dibawa secara beramai-ramai.

Apa yang menarik perhatian, keakraban mereka sesama jiran dalam suasana harmoni dan mereka bergotong-royong membersihkan kawasan selepas waktu berbuka.

Jelas Maslina, idea untuk makan bersama itu dikongsikan kepada jiran secara tiba-tiba dan tak sangka mendapat sambutan.

“Idea itu datang secara tiba-tiba dan kemudian membuat poster dan menghebahkan dalam kumpulan WhatsApp kejiranan blok terbabit.

“Saya tidak sangka idea itu mendapat sambutan oleh jiran-jiran dan tak sangka telah tular di media sosial,” katanya.

Seorang wanita, Noratiha Mahmud, 31, yang menyertai acara itu berkata,  kemesraan bersama jiran tetangga membuat dirinya tidak terpinggir walupun bukan berasal dari Felda itu.

Noratiha yang menetap di Bukit Kuantan setelah berkahwin berpendapat, usaha murni tersebut wajar diteruskan agar ukhwah terus terpelihara dan berpeluang mengenali semua jiran.

“Saya berkahwin dengan suami yang orang sini ,Felda Bukit Kuantan, dan menetap di sini sejak lapan tahun lalu.

“Dengan cara ini saya bukan saja dapat mengenali jiran-jiran dengan lebih rapat tetapi mereka juga dapat mengenali saya,” katanya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast