KUALA LUMPUR – Hampir 9,400 warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di pelbagai peringkat di seluruh negara akan bertugas pada Hari Raya Aidilfitri demi menjamin memastikan kestabilan bekalan elektrik.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pemantauan di setiap negeri khususnya dalam bidang teknikal ditingkatkan menjelang Syawal dengan jangkaan umat Islam pulang lebih awal ke kampung halaman, selain mereka yang mengambil peluang melancong sempena cuti panjang hujung minggu.
“Penugasan sebegitu ramai tenaga kerja mengambil kira tempoh kritikal 72 jam (tiga hari) bermula sehari sebelum 1 Syawal, berikutan penggunaan tenaga elektrik dijangka meningkat ketika orang ramai rancak membuat persiapan akhir terutama pada malam Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sementara itu, Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid menambah, penugasan giliran dan tunggu sedia itu dilakukan di stesen-stesen janakuasa, pusat kawalan dan seluruh rantaian perkhidmatan termasuk grid dan pencawang, bagi memastikan kelancaran penghantaran dan pembahagian bekalan elektrik serta siap siaga memberi perkhidmatan pelanggan.
“Walaupun tugasan ini adalah rutin harian warga kerja di bahagian perkhidmatan masingmasing, namun ia adalah satu pengorbanan tatkala orang ramai ceria menyambut Aidilfitri bersama keluarga, sedangkan mereka bertugas di lapangan,” ujarnya.
Bagi menghargai sumbangan warga kerja terlibat, TNB mengekalkan tradisi menitipkan bingkisan kuih raya sebagai tanda penghargaan. Persatuan Wanita TNB (Pelitawanis) dari
cawangan sekitar Semenanjung Malaysia berganding bahu menyiapkan hampir 9,400 pek bingkisan kuih raya minggu lalu. – MalaysiaGazette