Persidangan UMNO dan DAP.

PERBALAHAN pemimpin UMNO dan DAP terhadap beberapa isu tidak akan memberikan kesan terhadap kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi pilihan raya (PRN) di enam negeri.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, pertengkaran yang melibatkan pemimpin atasan adalah perkara biasa dalam politik.

Beliau yakin ‘pertembungan’ tersebut boleh diselesaikan oleh Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Pertengkaran seperti ini akan selesai di peringkat atasan terutama mungkin kerjasama erat antara Anwar dan Ahmad Zahid.

“Saya tidak nampak pertengkaran ini akan pergi jauh sehingga memutuskan kerjasama,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Mujibu Abdul Muis.- Foto AMIRUL SHAUFIQ 15 NOVEMBER 2021.

Tambah beliau, PH yang dianggotai DAP dan BN yang diketuai UMNO akan menggelakkan daripada berlakunya pertandingan tiga penjuru pada PRN nanti.

Beliau menjangkakan kedua-dua parti berkenaan akan meneruskan kerjasama strategik dalam pilihan raya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Mungkin tidak ada kerjasama secara konkrit tetapi setidak-tidaknya akan berlaku kerjasama di peringkat strategik pada pilihan raya.

“Ini akan dilakukan dengan mengelakkan pertembungan, pecah undi dan paling penting jangan terdapat pertandingan tiga penjuru BN dan PH dengan PN.

“Kalau ikut kekuatan memang ada kawasan UMNO dan BN ada kekuatan. Ada kawasan UMNO tidak ada kekuatan, PH ada,” katanya.

Pemimpin DAP dan UMNO ketika ini berbalah terutama berkaitan pengampunan diraja kepada bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

Veteran DAP Lim Kit Siang pada Selasa lalu yang memberi amaran bahawa kerajaan perpaduan pimpinan Anwar boleh tumbang sekiranya Najib dikurniakan pengampunan diraja.

Menurut Kit Siang, adalah satu kesilapan mempercayai bahawa UMNO dapat kembali ke zaman kegemilangannya jika Najib diampunkan.

Pendapat Kit Siang kemudian dibantah oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Mohd Puad berpandangan DAP takut Najib dibebaskan kerana  Najib dilihat sebagai ancaman kepada PH dan Anwar.

Sementara itu Mujibu menegaskan, sentimen dalaman UMNO ketika ini bukanlah terhadap Najib tetapi kepada Ahmad Zahid.

“Kena lihat dalam dua perspektif – ia adalah penekanan yang dibuat oleh kelompok Najib dalam UMNO, kedua isu ini akan memberi banyak impak kepada Kerajaan Perpaduan berbanding UMNO itu sendiri.

“Kita kena faham bahawa sentimen orang UMNO ketika ini lebih kepada tidak suka Zahid dan hilang kepercayaan.

“Bila hilang kepercayaan dia (akar umbi UMNO) sanggup beri undi kepada PN dan sudah tentu PN akan manipulasikan supaya dapat impak kepada PN,” katanya.

Hubungan UMNO dan DAP juga tegang selepas Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Aziz Bari sangsi UMNO mampu menarik sokongan Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan dan menuduh UMNO  menumpang kekuatan PH.

Pandangan Aziz itu kemudiannya disanggah oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Nur Jazlan Mohamed yang memulangkan kata keras bahawa DAP menjadi liabiliti bagi rakan gabungan untuk memikat semula sokongan pengundi Melayu.

Mujibu menegaskan, tidak timbul isu UMNO menumpang kekuatan PH. Ini kerana UMNO kuat di kawasan Melayu sementara PH kukuh di bandar yang mempunyai komposisi pengundi pelbagai kaum.

“Tak ada isu menumpang, kekuatan BN di akar umbi jelas ada. PH juga walaupun tak kuat di kawasan Melayu tetapi kekuatan untuk menarik undi di kawasan campuran di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan,” kata Mujibu.

Pun begitu persoalan besar yang perlu diberi perhatian oleh UMNO adalah bagaimana mereka mahu menarik undi ahli parti itu sendiri.

Ini kerana ada kalangan akar umbi UMNO yang masih tidak boleh menerima kerjasama dengan PH.

“Sebab setakat ini kita melihat akar umbi UMNO macam tak mahu terima kerjasama ini.

“Templet di (pilihan raya kecil) Padang Serai dan Tioman yang tak mahu undi ini banyaknya orang UMNO, orang PH undi UMNO tak ada masalah,” kata Mujibu.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ye ke?
    sembang akarumbi hingga ke president benci rasuah apa CER Menteri jaga kemasukan pekerja tu? nak kata Menteri kurang cerah dorang dah sebut tidak memilih bulu dan warna kulit… mungkin dorang pilih warna PITIH sahaja kot hahaha

Comments are closed.