Agong
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan kerajaan agar bersedia membawa pulang rakyat Malaysia di Sudan sekiranya konflik di negara itu bertambah tegang.

Menerusi catatan di Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka bertitah menyeru seluruh rakyat untuk bersama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berada di negara tersebut susulan krisis yang berlaku di negara itu ketika ini.

Malah, baginda turut menyeru seluruh masjid mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan Allah SWT agar melindungi rakyat Malaysia dan ketegangan di Sudan dapat dihentikan dengan segera.

Konflik di Sudan yang melibatkan dua pihak iaitu Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), telah mencetuskan pergolakan politik serta menggugat keselamatan di negara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam kenyataannya semalam menasihati rakyat Malaysia di Sudan supaya berjaga-jaga dan tidak mengambil risiko untuk keluar buat sementara.

Zambry turut memberitahu, mesyuarat Antara Agensi diadakan pagi semalam untuk mendapatkan maklumat terkini situasi semasa di Sudan dan berbincang mengenai cadangan yang sesuai bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di negara itu terjamin semasa konflik. – MalaysiaGazette