Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menggeledah pejabat dan kediaman Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar semalam.

Memetik laporan Sinar Harian, badan penguat kuasa itu bertindak demikian selepas Sivakumar hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberikan keterangan.

Menurutnya, SPRM kini dalam usaha melengkapkan siasatan terhadap dakwaan pembantu kanan menteri itu menerima wang bernilai jutaan ringgit menerusi orang tengah.

Suapan itu didakwa sebagai jaminan meneruskan kontrak kerajaan terhadap individu tertentu.

“Sivakumar telah dipanggil SPRM semalam (Ahad) untuk bantu siasatan susulan siasatan terhadap seorang pegawai tugas-tugas khas dan penahanan setiausaha sulitnya minggu lalu.

“Ahli perniagaan berkenaan dipercayai membuat public relation mewakili Sivakumar untuk meminta wang kepada individu tertentu yang menjalankan projek kerajaan di kementerian itu.

“Sebagai jaminan agar mereka dapat meneruskan projek dilaksanakan selain menjanjikan akan diberikan projek lain selepas itu,” kata sumber kepada portal terbabit.

Tambah sumber, perbuatan yang dilakukan ahli perniagaan itu disyaki berada di bawah pengetahuan kedua-dua pegawai Sivakumar yang dikatakan pernah menyaksikan pemberian wang itu.

“Wang berkenaan disyaki dibayar secara tunai sebelum kesemua wang itu didakwa akan diserahkan kepada Sivakumar,” ujarnya.

Semalam, Bernama melaporkan, SPRM mengambil keterangan pemimpin DAP itu berhubung siasatan kes rasuah mengenai pengambilan pekerja asing.

Sumber memaklumkan, Sivakumar yang merupakan Ahli Parlimen Batu Gajah hadir memberi keterangan pukul  10 pagi.

SPRM telah menahan setiausaha sulit kepada Sivakumar bagi membantu siasatan kes pengambilan pekerja asing.

Penahanan itu dibuat selepas seorang pegawai tugas-tugas khas kepada menteri berkenaan direman Khamis lalu. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Setiausaha sulit dan pegawai kanan KSM sudah digantung tugas?