Peter Anthony

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menolak rayuan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony  sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya selepas didapati bersalah atas kes penggunaan dokumen palsu untuk menipu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache memutuskan hakim perbicaraan sebelum ini tidak melakukan sebarang kekhilafan dalam keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap bersalah atas pertuduhan itu Mei tahun lalu.

Hari ini merupakan prosiding keputusan rayuan Peter untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 selepas didapati bersalah memalsukan surat kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) tujuh tahun lalu.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi menjatuhkan hukuman penjara dan denda itu pada 26 Mei tahun lalu selepas mendapati Peter, 51, bersalah atas pertuduhan itu selain memutuskan tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah diakhir kes pembelaanya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd telah  memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat itu telah membayar denda RM50,000. – MalaysiaGazette