pemberian kebebasan media pertumbuhan ekonomi IPA
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Kewangan Negara telah menambah baik pemberian dan sokongan bagi setiap negeri, tahun ini.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2023 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini serta dihadiri semua menteri besar, ketua menteri atau wakil mereka.

Anwar berkata, kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkan Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP) kepada RM400 juta.

Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, mesyuarat tersebut juga bersetuju dengan semakan semula dan penambahbaikan bagi petunjuk serta pengagihan Pemberian TAHAP.

“Keputusan ini menzahirkan komitmen serta kesungguhan kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peluang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan acuan negeri masing-masing dan seterusnya dapat memperkukuh lagi momentum pemulihan ekonomi ke arah pembangunan Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anwar menambah, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023, Majlis Kewangan Negara bersetuju dengan kenaikan peruntukan Pemberian Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) kepada RM150 juta berbanding RM70 juta tahun lalu.

Menurut beliau, kenaikan itu adalah galakan khusus kepada negeri-negeri yang mewartakan kawasan perlindungan baharu.

Selain itu, Anwar berkata, kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menambah baik penggunaan peruntukan di bawah Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri bagi menyelenggara jalan dan kerja-kerja lain yang berkaitan di kawasan perumahan berpagar dan mempunyai kawalan keselamatan serta penggantian papan tanda nama jalan dan lorong bagi jalan.

“Antaranya melibatkan jalan kampung, jalan taman dan papan-papan tanda jalan lain selain daripada penunjuk arah,” jelasnya.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri disarankan untuk memberi keutamaan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di negeri masing-masing kepada kontraktor Kelas G1 hingga G4 dan tidak hanya tertumpu kepada beberapa syarikat konsesi besar sahaja.

“Langkah ini bertujuan untuk membantu kitaran ekonomi kontraktor-kontraktor kecil dengan lebih adil dan secara tidak langsung dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negara lebih tuntas,” katanya.

Anwar berkata, Kementerian Kewangan juga akan menambah peruntukan sebanyak RM250 juta lagi bagi penyelenggaraan berkala pavemen jalan Persekutuan, terutamanya untuk menangani masalah jalan raya berlubang yang menjadi antara penyumbang kepada kemalangan.

Menurut beliau, peruntukan tambahan itu juga akan dikhususkan untuk manfaat kontraktor-kontraktor kecil bumiputera.

“Penambahan ini menjadikan peruntukan keseluruhan penyelenggaraan berkala pavemen jalan Persekutuan meningkat kepada RM1 bilion berbanding RM750 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.

“Dengan mengambil kira kemampuan kewangan semasa, kerajaan Persekutuan tetap terus komited untuk memenuhi keperluan penyelenggaraan jalan Persekutuan,” jelasnya.

Anwar berkata, bagi tujuan penambahbaikan ke atas pinjaman kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri, Kementerian Kewangan bersetuju mempertimbangkan dan meminda kaedah pengeluaran kepada secara bayaran kemajuan kerja melibatkan pinjaman baharu bagi projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Boleh Pinda Rancangan Malaysia.

Tambah beliau, pendekatan itu dapat menyegerakan proses penyaluran peruntukan yang disediakan secara pinjaman, membantu kerajaan negeri yang mempunyai masalah aliran tunai dan bergantung kepada peruntukan pinjaman bagi melaksanakan projek pembangunan serta akan melancarkan pelaksanaan projek-projek pembangunan.

Katanya, kerajaan Persekutuan turut bersetuju agar pakej insentif cukai untuk pelaburan ke negeri dilanjutkan bagi tempoh peralihan dua tahun sehingga 31 Disember 2024 melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah.

Anwar berkata, langkah itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengimbangi pembangunan di seluruh negara melalui aktiviti pelaburan yang dilaksanakan oleh pihak swasta.

“Ini juga sebagai satu langkah interim ke arah pemakaian struktur insentif baharu yang lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau menyatakan, kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan hubungan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berada pada tahap yang terbaik.

“Hasrat ini dimanifestasikan melalui peningkatan peruntukan yang disalurkan dalam pelbagai bentuk pemberian kepada kerajaan negeri setiap tahun.

“Besarlah harapan kerajaan Persekutuan supaya pemberian-pemberian ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri bagi melaksana pembangunan negara yang lebih seimbang selaras dengan gagasan Malaysia Madani,” katanya. – MalaysiaGazette