Fadhlina Sidek

BANTING – Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2022 menunjukkan peningkatan dengan gred purata nasional adalah 3.13 berbanding pada 2021 iaitu 3.15, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Berucap ketika mengumumkan keputusan Peperiksaan STAM di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah hari ini, beliau berkata, bagi gred purata sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) pula adalah 2.91 berbanding tahun 2021 iaitu 2.92, iaitu peningkatan sebanyak 0.01.

“Pencapaian peperiksaan STAM bagi sekolah KPM telah menunjukkan kualiti yang lebih baik. Saya percaya kejayaan ini adalah hasil usaha gigih semua pihak dalam meningkatkan kualiti pengajaran guru, penyediaan kemudahan bilik darjah yang kondusif, bekalan buku teks dan lain-lain keperluan yang menyokong proses pembelajaran murid,” katanya.

Katanya, calon peperiksaan STAM Tahun 2022 yang berdaftar adalah 4,634 orang meliputi calon sekolah KPM seramai 1,363 orang; Sekolah Menengah Agama Negeri (1,941 orang); Sekolah Menengah Agama Rakyat (259 orang); Sekolah Menengah Swasta (36 orang) dan calon persendirian (1,035 orang).

Fadhlina berkata, sijil peperiksaan STAM bukan sahaja diiktiraf untuk kemasukan ke program Ijazah Pertama di Universiti Al Azhar Al Sharif, Mesir tetapi juga untuk kemasukan ke universiti tempatan.

“Sijil STAM turut mendapat pengiktirafan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, iaitu setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia. Ini bermakna pemegang sijil STAM juga layak untuk memasuki pekerjaan dalam sektor perkhidmatan awam seperti pemegang sijil STPM,” katanya.

Sehubungan itu, katanya beliau amat menyokong dan menggalakkan murid-murid yang berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang agama di Timur Tengah, khususnya di Universiti Al- Azhar Al Sharif mahupun universiti tempatan, untuk meneruskan hasrat mereka tanpa ragu kerana hala tuju dan laluan masa hadapan yang cerah sedia menanti.

Berhubung isu tular di media sosial yang mendakwa seorang Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) telah dipindahkan dan diturunkan gred kepada guru biasa di sekolah baharu, Fadhlina menjelaskan tidak timbul isu penurunan gred.

“Tidak tepat laporan itu, saya fikir kita telah melaksanakan proses kerja itu dengan cukup cermat dan berhati-hati dan kita ambil kepentingan semua pihak dan ini adalah proses (perpindahan) biasa.

“Masyarakat mungkin tidak faham tentang isu gred perguruan sebab itu saya kata proses kerja atau proses penukaran dan perpindahan ini, proses kerjanya tidak ada masalah. Tiada isu mengenai dia diturunkan pangkat,” katanya. – Bernama