Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad

KUANTAN- Seramai 18 daripada 274 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2022 di Pahang berjaya mendapat pangkat mumtaz (cemerlang).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, keputusan peperiksaan STAM 2022 bagi negeri Pahang menunjukkan peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 0.17 dari 2.94 pada tahun 2021 kepada 2.77 pada tahun lalu.

Tambah Syed Ibrahim, gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) menunjukkan peningkatan semua mata pelajaran.

“Berdasarkan keputusan peperiksaan STAM 2022 yang diumumkan pada Selasa, dua daripada pelajar dengan keputusan cemerlang itu memperolehi 10 mumtaz dalam semua mata pelajaran.

“Seramai 76 calon mendapat pangkat jayyid jiddan (amat baik), 119 pangkat jayyid (baik) dan 14 orang mendapat pangkat maqbul (lulus).

“Manakala Seramai 47 calon  gagal dan 10 lagi tidak hadir peperiksaan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri Pahang bersetuju memberi RM100 setiap subjek kepada calon yang memperoleh 5A ke atas pada pelajar yang mengambil peperiksaan tersebut tahun lalu.

“Jadi kalau dapat 10 A maka dapat RM1,000, MB ,Datuk Seri Wan Rosdy mengucapkan tahniah dah berharap prestasi keputusan STAM terus meningkat,” katanya.

Menurutnya, dua buah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) mencatatkan peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) iaitu Maahad As Sultan Haji Ahmad Shah, Jengka yang memperolehi 2.71 berbanding 3.04 bagi tahun 2021 dan Kulliah Al Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan memperolehi 2.73 pada tahun ini  berbanding 2.99 tahun sebelumnya. – MalaysiaGazett