100 ekor benih udang galah hidup disorokkan di dalam kotak yang telah diubah suai berjaya dirampas Maqis.

GELANG PATAH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan bantuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) telah menahan sebuah kereta yang membawa masuk empat kotak berisi benih udang galah dari Singapura di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, Johor awal pagi semalam.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan menemui hampir 100 ekor benih udang galah hidup disorokkan di dalam kotak yang telah diubahsuai.

Kesemua dagangan yang cuba dibawa masuk tanpa Permit Import Maqis dan Sijil Kesihatan menggunakan kenderaan persendirian di laluan import (laluan kereta/penumpang).

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati benih udang galah tersebut cuba dibawa masuk tanpa sebarang dokumen dan telah ditahan untuk tindakan lanjut.

“Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu juga, jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua- duanya sekali.-MalaysiaGazette