KLANG – Malaysia perlu dikenali sebagai negara yang bebas daripada persepsi negatif seperti rasuah, skandal, persengketaan kaum dan agama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia hanya boleh dilaksanakan melalui kerjasama di antara pemimpin dan rakyat.
“Kita tidak mahu Malaysia terkenal sebagai satu negara yang penuh dengan permusuhan kaum, pergaduhan agama, heboh dengan skandal rasuah, padahal majoriti rakyat tidak bersalah kita amanahkan pimpinan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada pelajar tahfiz dan anak yatim piatu di Masjid Ahmadi, Kamgung Rantai Panjang, di sini, hari ini.
Ujarnya, pembaharuan tidak boleh dilaksanakan sekiranya tiada kesungguhan dan ketegasan daripada semua pihak.
“Mana mungkin umat Islam dalam negara ini dapat mengangkat negara ini kepada Madani kalau kita tidak sanggup membuat perubahan dari atas sampai ke bawah.
“Sebab itu kalau tindakan keras dan tegas saya mula dari atas kerana rosaknya sistem negara dari pimpinan di atas.
“Sebab itu saya tidak sanggup bertolak ansur dengan apa pun ugutan, ujian saya bawa semangat roh Ramadan ini mesti ada kesungguhan membersihkan jiwa dan diri.
“Kalau jadi Perdana Menteri atau Menteri Kewangan, ada jawatan dalam kerajaan negeri atau penjawat kerajaan negeri tapi kerjanya punggah (kaut) kekayaan negeri untuk keluarga, anak, isteri dan menantu jahanamlah negeri,” tambah Anwar.
Jelasnya, meskipun pelbagai slogan digunakan ketika berlaku pertukaran kerajaan namun ia tidak akan mengubah kesungguhan untuk melaksanakan perubahan dalam negara.
“Negara kita ini sekarang cuba membawa perubahan, kita tidak boleh kekal di tahap yang lama, saya tidak peduli orang guna slogan apa, slogan persatuan, slogan Islam, slogan Melayu, slogan Keadilan atau apa pun tidak akan memberi kesan dan makna jika tidak ada keikhlasan dan tekad untuk mengamalkan,” kata Anwar. – MalaysiaGazette