Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Seramai 15 warga asing yang disyaki terlibat dengan sindiket penipuan dalam talian atau ‘phone scam’ diberkas polis dalam serbuan yang dilakukan di sekitar ibu negara pada 12 April lalu.

Daripada jumlah itu 12 orang adalah warga Taiwan, termasuk seorang wanita manakala baki 3 orang merupakan wanita warga China.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, siasatan mendapati modus operandi sindiket berkenaan adalah kesemua suspek akan membeli mata wang digital USDT dengan menggunakan hasil daripada aktiviti penipuan.

Jelasnya, mereka kemudian memindahkan mata wang digital USDT itu ke dalam akaun e-dompet seperti diarahkan.

“Hasil serbuan juga polis berjaya menjumpai satu buku yang mempunyai beberapa muka surat yang ditulis dalam bahasa Cina dan dipercayai skrip bagi penipuan ‘Phone Scam’ (penipuan dalam talian),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, antara barang  yang dirampas adalah tujuh buah komputer riba, 19 unit telefon bimbit, lapan unit modem, sembilan keping pasport warga asing, dua unit pemacu pena (pendrive), dua unit iPad dan wang tunai RM2,745 dan AS$200.

Menurut Noorsiah, kesemua suspek berusia 22 hingga 43 tahun dan  direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Kes sedang disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan hasil siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum menerima arahan untuk didakwa di mahkamah.

“Rentetan itu, kesemua 15 suspek itu didakwa di Mahkamah Majistret Jalan Duta pada pagi Khamis di bawah 120B (2) Kanun Keseksaan iaitu pakat jahat jenayah.

“Bagaimanapun kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan kini direman di Penjara Sungai Buloh sehingga tarikh sebutan semula kes pada 19 Mei ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette