ACP Zam Halim Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga India mati dibunuh oleh rakan sekerja yang juga berasal dari negara yang sama disyaki mabuk dalam kejadian yang berlaku di asrama pekerja asing di Kawasan Perindustrian Jalan Sungai Besi pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang telah menerima mangsa berusia 43 tahun itu dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan berdarah di muka dan kepalanya kira-kira pukul 6 pagi.

Bertindak atas maklumat, polis melakukan serbuan sebelum berjaya menahan tujuh lelaki warga asing juga dari India berusia lingkungan antara 22 hingga 57 tahun yang juga rakan sekerja mangsa di sebuah premis besi buruk di Kawasan Perindustrian Jalan Sungai Besi kira-kira pukul 12 tengah hari pada hari sama bagi membantu siasatan lanjut polis.

“Menurut salah seorang rakan sekerja mangsa, kejadian itu berlaku di asrama mereka. Saksi memaklumkan menemui suspek iaitu seorang lelaki warga asing berusia 37 tahun yang bekerja di premis sama berdiri dalam keadaan berlumuran darah di hadapan bilik mangsa.

“Saksi yang memasuki bilik mangsa mendapati lelaki berkenaan terbaring dalam keadaan tidak sedar diri dengan kesan kecederaan di muka dan kepala serta memaklumkan mengenai perkara itu kepada majikannya,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Zam Halim, majikan yang tidak menjangkakan perkara itu segera membawa mangsa ke HCTM untuk menerima rawatan, namun dia telah disahkan meningga dunia oleh pihak hospital.

Katanya, semasa rakan sekerja mangsa cuba mengikat suspek atas arahan majikan mereka namun suspek cuba membunuh diri dengan menoreh lehernya menggunakan pisau.

“Majikannya yang dimaklumkan mengenai perkara itu kemudian membawa (suspek) ke HCTM untuk menerima rawatan atas kecederaan dialami di leher.

“Susulan itu, pihak polis juga menahan suspek utama berkenaan di wad pemantauan Unit Kecemasan HCTM untuk tindakan lanjut.

“Selain pasukan forensik IPD Cheras dan IPK Kuala Lumpur yang bergegas dan menjalankan siasatan di tempat kejadian pembunuhan itu turut merampas sebatang besi yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu selain dua swab darah serta sebuah kereta Hyundai Tucson disyaki digunakan untuk menghantar mangsa ke hospital.

“Ketika kejadian, suspek dikatakan dalam keadaan mabuk namun motif utama pembunuhan itu masih dalam siasatan kami,” katanya.

Tegasnya, kesemua lapan individu warga India yang ditahan itu termasuk suspek utama telah direman selama tujuh hari bermula 19 hingga 25 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette