imej CCTV memaparkan insiden seorang lelaki melarikan telefon bimbit iPhone 13 Pro dalam kejadian Rabu lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang penjual telefon bimbit di Wangsa Walk, Wangsa Maju menarik balik laporan polis berhubung kecurian iPhone 13 Pro selepas suspek lelaki mengembalikan semula barang tersebut.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, berikutan tindakan pengadu, polis yang telah membuka kertas dan menyiasat aduan itu mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Pada Rabu lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menerima satu laporan berhubung kecurian telefon bimbit itu.

“Dalam kejadian terbabit, mangsa yang bekerja di kedai berkenaan didatangi seorang lelaki berpakaian serba hitam untuk melihat iPhone berwarna perak yang kemudian bersetuju membeli telefon bimbit itu.

“Mangsa meminta supaya suspek menulis butiran di atas resit pembayaran, namun secara tiba-tiba suspek bertindak mengambil telefon bimbit tersebut yang berada di atas meja lalu melarikan diri tanpa membuat sebarang pembayaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mangsa kejadian tampil semula ke IPD pada Khamis lalu,  sehari selepas insiden itu untuk menarik semula aduan tersebut.

“Mangsa mendakwa telefon bimbit yang dilarikan itu telah dikembalikan oleh orang awam,” ujarnya.

Terdahulu, tular sebuah video dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter bernama nanmanjoi memaparkan insiden kecurian yang berlaku di Wangsa Walk itu.

Video berdurasi 39 saat yang dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan merakamkan perbuatan suspek yang melarikan telefon bimbit berjenama itu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast