KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat di Negeri Selangor.
Baginda berdua berharap sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini dirai dalam suasana yang meriah dan harmoni.
Dalam kenyatan yang dikongsikan di Facebook, Sultan Selangor menyeru orang ramai supaya mengambil kesempatan untuk menggandakan amalan sedekah kepada golongan yang memerlukan pada bulan Syawal ini.
“Teruskan berkata-kata dan menulis perkara yang baik-baik sahaja, elakkan fitnah dan buruk sangka, kerana apa sahaja yang kita lakukan adalah menjuruskan kepada ketakwaan kepada Allah SWT,” titah baginda sambil mengingatkan bahawa umat Islam dituntut untuk mengekalkan hubungan silaturahim lebih-lebih lagi dengan suasana Syawal yang penuh dengan tradisi rumah terbuka dan kunjung mengunjung.
Sesungguhnya amalan ini harus diteruskan, titah baginda.
Baginda turut berkenan menasihatkan umat Islam khususnya yang pulang ke kampung halaman agar memandu dengan berhemah dan berhati-hati di jalan raya.
“Semoga Syawal yang menyusuli pemergian Ramadan ini dapat disambut dengan kegembiraan sejati. Selamat Hari Raya Aidilfitri,” titah Sultan Sharafuddin. – MalaysiaGazette