Gambar hiasan

PETALING JAYA – Selepas berjaya melaksanakan subsidi bersasar untuk tarif elektrik dan berjaya menjimatkan lebih RM4 bilion, kerajaan kini menumpukan perhatian kepada subsidi diesel.

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim berkata, buat permulaan, kerajaan akan mengkaji kemungkinan untuk melaksanakan subsidi bersasar untuk kenderaan perdagangan.

Beliau bagaimanapun menegaskan, perkara itu masih dalam peringkat kajian walaupun terdapat banyak cadangan mengenainya.

“Ada yang mencadangkan pemberian kad kepada setiap kenderaan perdagangan dan seterusnya mengenal pasti kadar subsidi mengikut setiap transaksi.

“Ada juga yang mencadangkan kami meneladani sesetengah negara dengan mengenakan cukai khas atau meletakkan syarat lesen khas. Bayaran sedemikian adalah setahun sekali seperti semasa memperbaharui lesen.

“Kami juga menerima cadangan-cadangan lain seperti menggunakan kad pengenalan atau pengenalan frekuensi radio (RFID),” katanya semasa menerima wawancara Nanyang Siang Pau.

Steven bagaimanapun berkata, demi memastikan tiada ketirisan semasa pelaksanaan, semua cadangan itu perlu dikaji secara teliti dan kerajaan juga tidak meletakkan sasaran tarikh untuk pelaksanaan subsidi bersasar diesel.

Pada masa ini, kenderaan perdagangan boleh membeli diesel yang sudah disubsidi di stesen minyak.

Sektor dan kenderaan lain yang turut menikmati subsidi itu adalah pertanian, perikanan, pengangkutan awam serta bas sekolah.

“Kami tidak boleh menghentikan (subsidi) secara serta-merta kerana ini akan mengejutkan pasaran dan sistem, seterusnya menyebabkan inflasi, termasuk kemungkinan inflasi dua digit.

“Ini isu yang sensitif dan kami perlu memastikan semuanya stabil semasa pelaksanaan dan kami tidak boleh melakukan pusingan U selepas dilaksanakan,” kata Steven.

Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan perlu memastikan golongan sasaran menikmati kebaikan dan perlu mengelakkan ketirisan.

“Jika matlamat yang ditetapkan tidak dapat dicapai, maka ia merupakan satu pembaziran kerana kami memperuntukkan wang yang banyak untuk membangunkan sistem,” katanya.

Menurutnya lagi, walaupun langkah pertama iaitu subsidi bersasar untuk tarif elektrik menerima aduan, tetapi kerajaan masih berazam meneruskan langkah berikutnya.

“Langkah kedua adalah subsidi bersasar untuk diesel, ” katanya. – MalaysiaGazette