Kereta terbabas dan melanggar pokok menyebabkan seorang penumpang hadapan kenderaan tersepit sebelum diselamatkan bomba dalam kejadian di Seri Kembangan petang hari ini. Gambar Ihsan Bomba Selangor

SERDANG – Dua individu terselamat manakala seorang lagi tersepit apabila kereta dinaiki terbabas di Lestari Perdana Seri Kembangan, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan seorang mangsa tersepit di dalam kereta pada jam 3.43 petang.

“Bertindak atas panggilan itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang bergegas ke lokasi kemalangan.

“Sejurus tiba di tempat kejadian itu, pemeriksaan lanjut mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Wira dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar pokok di tepi jalan utama itu,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Tambah beliau, terdapat tiga mangsa lelaki berusia antara 19 dan 27 tahun berada di dalam kereta yang melanggar pokok tersebut.

Katanya, pemandu dan seorang lagi penumpang di tempat duduk belakang dalam kereta itu berjaya keluar sendiri tanpa mengalami kecederaan.

“Namun, seorang mangsa lelaki tempatan didapati tersepit di bahagian tempat duduk penumpang hadapan dalam kereta tersebut.

“Bomba telah menggunakan peralatan khas untuk membantu mengeluarkan mangsa dan seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut,” ujarnya. – MalaysiaGazette