PENULIS rasakan benar-benar mahu melurutkan seluruh perasaan menuliskan perihal ini.
Di sebuah masjid, sedang asyik mendengar khutbah Jumaat, seorang jemaah warga emas menyapa cucunya di sebelah dengan jari menunjuk ke atas memberi isyarat matahari terik, sambil tangan kiri mengibas-ngibas baju dengan wajah sangat tidak selesa. Memang cuaca amat panas ketika itu.
Di luar masih ramai jemaah tersidai menahan badai membahang, di dalam tidak lagi muat menampung. Halaman luar yang kontang tak berbumbung daun-daun itu rasa seperti periuk sedang mendidih. Daripada atas dibakar mentari, daripada bawah (tar) menyala bahang. Tar, permukaan konkrit (simen) tidak berkuasa menyerap haba. Imam sedang asyik dengan seletus-letus perkataan dilepaskan, tiada tanda akan berkelajuan mahu segera menghabisi khutbah. Tidak mungkin musim panas kita harus menganggu khutbah, ia peringatan berguna kepada jemaah. Namun, adakah yang akan sudi mendengar jika sebahagian besar mereka menanggung rasa tidak selesa.
Di suatu masjid lain di bulan Ramadan, hamba lihat lamannya gersang bak padang kontang. Tiada sebatang pohon ditanam. Di tempat wuduk, air paipnya panas seperti air mendidih. Masakan tidak, di sanalah tempat cahaya matahari menimpa. Jika sepanjang hari itu panas, dengan sedikit sahaja peralihan matahari daripada Timur ke Barat terbit dan tenggelam manakala dalam keadaan itu, paip air tetap menerima cahayanya, bermaksud hampir seluruh siang jemaah yang hadir akan mengucap panjang berwudhuk di sana. Itu masjid di sebuah kampung, di tanah yang tidak komersial. Telah gondol banyak datarannya.
Dalam basa basi penulis dengan jemaah masjid “Panas terik hari ini kan pakcik? Jawabnya “Barulah mencabar nak puasa…”. Allahu. Ke situ pula ditangkapnya.
Ini penulis alami dan saksikan ketika setiap minggu Jumaat dan pada waktu itu, hari yang kami turun mengedarkan sedikit sumbangan kepada asnaf daripada anjuran beberapa badan.
Seorang lagi orang tua, bapa kepada seorang pelajar kami di utara tanah air. Selesai berprogram, kami diundang ke rumah. Ketika itu musim panas terik. Lazim di utara, jika musim kemarau sampai-sampai tanah boleh merekah. Suhu di sana memang sedikit lebih panas membara. Lalu, ketika bersinggah di rumah pakcik tadi, saya teruja melihat lamannya yang rimbun, redup, teduh dan tentunya mendamaikan, walaupun di atas dedaun yang melindungi kami itu cuaca memang sedang amatlah teriknya. Usai menikmati kopi kampung, kopi asli dihasilkan kampung berkenaan. Saya mulakan berbasa basi, selesai bertanya khabar dan menyebut tentang cuaca, sekali lagi pak cik itu lari daripada maksud “lagu tu lah..Kita ni musim panas ka sejuk ka, kena terima sajalah, tok sah mengeluh…’. MasyaAllah, benar sekali perkataanmu pakcik.
Apa yang penulis mahu sampaikan melalui cerita di atas. Bumi ini semakin panas. Ia bukan fenomena di Kampung Tengkek sahaja atau di Bandar Baru Bangi atau di Tumpat atau di Kuala Terengganu, ia fenomena dunia. Global warming, kesan perubahan cuaca (climate change). Thailand mencatatkan suhu tertinggi 45c. Suatu petunjuk tahap cuaca yang menakutkan di negara berkenaan. Saudara-saudara kita di Patani Darussalam, tanah Melayu yang telah dijarahkan penjajah itu mencatat suhu hampir 40c. Dinding media sosial tanah air kita membanjir cerita tentang rasa menanggung bahang terik. Itu oleh siapa? Oleh mereka yang bersembunyi di balik penghawa dingin, sentiasa terjamin nyaman udara. Apalagi di luar sana, yang menyongsong arus jalan raya menghantar tempahan makan, pekerja pembinaan, pekerja pembersihan, penjaja tepi jalan. MasyaAllah. Kita ini yang berkubu di balik bumbung rumah ini sahaja rasa terbakat, mereka di luar, moga Allah kuatkan.
Saya tuliskan ini pertama dengan rasa gundah. Disalahfahami.
Musim hujan dan panas bergilir sepanjang tahun pada garis khatulistiwa itu tidak dapat diubah. Cuma, kadar gelombangnya boleh dipintas. Tiada yang dapat kita mungkiri takdir Allah terhadap bumi. Namun, ikhtiar mesti. Suhu panas ini boleh disederhanakan, dinyamankan melalui perantara tangan-tangan manusia.
Membelit diri dalam penghawa dingin sahaja kemudian katakan bahawa kita redha amatlah culas. Generasi yang lahir dimanjakan dengan suasana dalam bilik tempat penghawa dingin mereka beredar sahaja akan lemah, tetapi di luar bumi mereka sangatlah tidak ramah. Dunia ini lebih luas, daripada sekadar bilik. Kita tidak mahu melahirkan generasi strawberi, di luar cantik, menarik, kreatif tetapi lembik, rapuh dan mudah rosak. Kita perlu sediakan padang permainan di luar bilik, di luar rumah yang alami, yang redup dan meneduhkan dengan hamparan hijau.
Kita perlu ambil jalan panjang. Tanam pokok walaupun jalannya panjang dan tidak popular, tetapi ia paling berkesan untuk sederhanakan suhu bumi Malaysia ini, bukan suhu bilik orang berada atau jabatan kerajaan atau swasta yang berupaya.
Ambil contoh negara seberang – Singapura. Entah oleh sentimen rasis atau bagasi sejarah, kita sering menganggap apa yang dipercontohkan daripada Singapura semuanya kotor sahaja. Saya Malayophile (pencinta budaya Melayu), tetapi tidaklah menjadikan saya harus bersembunyi di balik lalang yang mudah dihuyung hayang angin melayang. Saya harus iktiraf tanpa kompromi, jasa Lee Kuen Yew yang telah membangunkan Singapura pesat dengan berpagaran pohon hijau. Penulis pernah membaca ucapan LKY semasa upacara tanam pokok dalam tahun 1960-an tentang landskap bandar hijau sekarang sudah berbuahkan hasil.
Setiap tepi jalan ada pokok yang tumbuh rendang untuk berteduh dari dipanggang matahari. Bermaksud, diperlukan hampir 50 tahun untuk menjadi contoh bagaimana Singapura yang lebih banyak besi keluli di setiap inci tanah mereka tetap nyaman dan menyederhana dengan pohon sebagai penampungnya. Datanglah, anda boleh berjalan kaki daripada bangunan ke bangunan dengan tidaklah terlalu menerima hangat.
Berbeza isu pejalan kaki di Malaysia antara dikatakan negara paling malas berjalan kaki di dunia. Alasan cuaca panas dan terik itu boleh dibantah dan dihumban. Katakan sahaja, hanyasanya alasan bukan kita malas, tetapi tangan-tangan manusia, tangan-tangan pemerintah tidak membangunkan keadaan yang ramah untuk ditumpangi pejalan kaki melintasi. Ini juga mengundang masalah besar, kesesakan lalu lintas dasyat sekarang ini. Orang di dalam jarak yang munasabah boleh berjalan kaki tetap memilih naik kenderaan walaupun terpaksa bersesak hanya kerana tiada laluan pejalan kaki yang meredupkan. Kita harus ubah, bantu bumi daripada lambakan asap kenderaan yang melepaskan gas hijau.
Tanggungjawab memakmur bumi bukan sahaja membangunkan batu-bata di perut dan dadanya, tetapi juga permaidani hijau di kulitnya.
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh main peranan. Berpantang melihat tanah terbiar tanpa ditanam pokok. Kita boleh terima padang penempatan gersang apabila sesuatu kawasan baru dibangunkan untuk dibina perumahan, institusi pendidikan dan kemasyarakatan lainnya. Contoh pembukaan bandar-bandar baharu.
Melebihi suatu tempoh ; 10 tahun mithalnya, penduduk bertambah daripada puluhan kepada ribuan, kedai berjualan dibuka, anak-anak mundar mandir ke sekolah, sistem ekonomi lancar, agensi kerajaan telah berkecukupan segala kelengkapan dan keanggotaan, namun kawasan berkenaan masih gersang, tandus tidak bertanam itu ada masalah pada teknokrat PBT berkenaan.ikan rizab tanah terbiar kosong, kontang tidak disuburkan dengan tanaman menghijau. Macam bandar kusam, berdebu dan tidak mesra huni.
Ini pemerhatian kami baru-baru ini bila ke sebuah “Bandar Baharu”. Sudah tidak patut disebut bandar baharu lagi pada faktanya, sudah puluhan tahun tertegak. Kami saksikan rizab tanah terbiar kosong, kontang tidak disuburkan dengan tanaman menghijau. Macam bandar kusam, berdebu dan tidak mesra huni.
Pohon-pohon ini menyamankan suhu, mententeramkan, menjamin kelestarian persekitaran dan kesihatan manusia sebagai alasan terbesar yang menelan alasan remeh berkenaan.
Bandar berdaya huni (liveable city), satu cirinya taman-taman hijau memagari kediaman manusia di dalamnya.
Manakala, warga prihatin boleh main peranan, laman tanah ditegakkan pohon-pohon. Ia bukan untuk kita, tetapi untuk angkatan kemudian menikmati bumi yang alami, mapan dan seimbang.
Untuk elak banjir besar di musim tengkujuh, dan panas macam menyala di musim panas, lituplah bumi dengan tumbuhan hijau.
Sekali lagi kami sebutkan kerja ini panjang, tidak seringan menggantung lebih banyak penghawa dingin. Tanah ini luas, tiada yang sanggup menghasilkan semua penghawa dingin untuk digantung di setiap dinding alamnya.
Ya. Sebatang pokok ditanam tidak akan mampu pengaruhi suhu bumi. Nisbah pokok ditanam dan yang ditebang hari-hari tidak terukur.
Sekurang-kurangnya menanam, jika tidak berkuasa menahan penebangan melulu. Atau jika tidak sanggup membina, jangan sesekali meruntuh. Tahan diri daripada menebang, menumbang pohon-pohon hijau. Ia perlukan puluhan, ratusan tahun untuk berakar tunjang.
Faedah pokok ni banyak. Sebagai penghawa dingin, pembekal udara segar, pelanggan cahaya matahari, penakung air, penahan tanah, penyubur bumi, pendinding kepanasan, taman persinggahan burung-burung, waqaf bersandar musafir jauh, dan penting sebagai pengimbang suhu bumi.
Dalam perbilangan adat juga ada mengkias ibarat tentang pohon ini :
“Batangnya tempat bersandar
Dahannya tempat bergantung
Buahnya untuk dimakan
Rimbun daun untuk berlindung”
Tanam pokok bukan untuk hari ini. Jika esok kiamat dan benih ada di tangan, dianjurkan supaya tanam juga. Selagi ada bertanah, bertanamlah. Makmur bumi, makmur penghuni.
Kami sebutkan ini berulang kali kerana merasai kesan besar terhadap emosi bahkan spiritual manusia. Kehidupan rohani itu sangat berkait dengan kehidupan jasmani. Harus saling sokong menyokong. Untuk jasmani tenteram, kita perlu hidup dalam suasana aman dan nyaman.
United Nation Decade on Ecosystem Restoration telah diluncurkan pada 05 Jun 2021 oleh agensi antarabangsa berkenaan. Ia memberi amaran kepada dunia jika berterusan meratah alam, manusia tidak akan dapat lagi menikmati kehidupan seimbang. Bahkan ada kesan lebih dasyat yang belum pernah kita saksikan.
Justeru, banyak perhatian diberikan kepada penanaman semula pokok atau projek penghutanan semula (reforestation) di kawasan hutan simpan atau separa hutan.
Ironi, di kawasan bandar terus dibiarkan togel tidak berlitup oleh permaidani hijau khususnya di tanah air kita. Ini tidak akan menyumbang langsung juga kepada keseimbangan suhu. Bandar berdaya huni (livable city) masih lagi tidak memasukkan indikator nisbah hutan dengan kawasan dibangunkan berkadaran munasabah. Tanpa memasukkan, tak mungkin komitmen keseriusan dapat dizahirkan. Sedangkan para penjawat awam bekerja berdasarkan dokumen-dokumen rasmi termaktub.
Namun, ini tidak boleh mematahkan asa kita. Ikhtiar memulai, takdir menyudahi. Kita harus berusaha dengan seberapa dapatnya membentengi kesan pemanasan global ini dengan kudrat usaha, tangan dan seluruh kelebihan yang dikurnia. Ia untuk generasi akan datang menikmati bumi yang memberikan keselamatan kepada mereka, tenteram dan bahagia.
Kita bolehlah menanam pokok dengan skala kecil hasil usaha kendiri atau NGO, tetapi jika komitmen dasar pihak kerajaan tidak menyokong, payahlah untuk dapat memberikan kesan maksimum.
Walaupun ada inisiatif tanam 100 juta pokok bermula daripada tahun 2021 – 2025 digerakkan kerajaan itupun melalui tekanan hebat daripada aktivis alam sekitar, kita tidak boleh bergantung.
Kami menyeru kepada seluruh rakyat, ambillah tekad untuk benar-benar berdiri sebagai khalifah bumi. Kita wariskan bumi yang seimbang, makmur kepada generasi mendatang. Balik raya ini buka luas-luas mata, celik seluruh indera, perhatikan geografi bumi yang mana cahaya matahari menimpa yang jika di sana tempat manusia mahu berteduh, tanamlah pohon segera. Jasanya sebagai zikir, pahalanya mengalir-alir kepada yang menanam. Tidakkan manusia, binatang juga akan gembira, mendoakan dan menyampaikan salam daripada semesta.
Bumi dah terlalu panas menderita dibakar bahang matahari. Simpatilah pada nasib orang kecil yang bekerja hari-hari dipanggang terik cahaya, penghawa dingin mereka di luar hanyalah pohon-pohon rendang yang berhajatkan tangan-tangan tuan-puan menanamkan.
Renunglah anekdot di bawah untuk kita lebih beriltizam;
“Jika tuan berkuasa, tahanlah diri daripada merosakkan bumi. Hutan, pohon hijau berperanan sebagai penyerap haba, penyerak cahaya matahari, penakung air, penyaman suhu bumi, peredup suasana, penyederhana hawa.
Jika tuan tak berkuasa menahan, janganlah menambah lagi. Hutan dan pohon adalah kulit bumi. Sekali terkoyak, lukanya rabak. Sakit bukan kepalang, kesannya kepada generasi sekarang dan akan datang.
Lihatlah orang kecil sebagai kami yang berjuang mengintai rezeki, dicelah bahang mentari. Bak bulu tangkis, ke hulu hilir, menghantar pos dan pesanan tuan yang berisi harta bisnes billionan. Kami membelah belantara jalan raya, berteman bahang haba. Tuan yang meruntuh bumi, poket londeh sampai ke kaki, kami pula yang menanggung derita, peluh mengalir sampai ke ibu jari”
“Selamat Hari Raya Aidilfitri”
Muhamad Hanapi Jamaludin
Pengarah Pengasas Benevolent Malaysia