BACHOK – Seorang warga emas ditemukan maut dalam lopak air berselut di bendang Pengkalan Haji Ali, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Bachok Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat lelaki berusia 68 tahun itu pada 1.16 tengah hari oleh orang awam.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang dalam lopak air berselut dan tiada sebarang kecederaan pada badan mangsa.
“Pihak kami juga tidak menjumpai sebarang objek yang boleh mengaitkan kematian mangsa dengan unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat dan punca kematian berkaitan masalah saluran darah koronari (jantung).
Menurutnya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – BERNAMA