Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kaunter jaminan mahkamah di sini didedahkan bagi membuktikan dakwaan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP).

Ini berikutan dakwaan PKPMP yang menafikan tuduhan kaunter jamin ditutup awal Khamis lepas sehingga menyebabkan enam tertuduh terpaksa meringkuk di dalam penjara tidak benar sama sekali.

Lip Eng yang juga seorang pengamal undang-undang berkata, rakaman CCTV itu penting bagi memastikan apa yang didakwa itu memihak kepada PKPMP.

Sebelum ini media melaporkan, mereka adalah antara 10 tertuduh yang meminta dibicarakan atas pertuduhan konspirasi jenayah dengan niat menipu.

Peguam mereka, Alvin Tan, mendakwa kaunter ikat jamin ditutup pada jam 2.53 petang, tidak lama selepas majistret membenarkan tertuduh terbabit masing-masing diikat jamin RM4,000. Notis di kaunter ikat jamin menyatakan waktu operasi adalah hingga jam 4.30 petang.

Alvin turut mendesak supaya rakaman CCTV didedahkan bagi membuktikan penafian tersebut.

PKPMP berkata  penjamin untuk menguruskan proses jamin merupakan sebahagian daripada prosedur yang perlu dipatuhi, selain bertujuan membolehkan mahkamah mengesahkan identiti penjamin yang bertanggungjawab dalam jaminan itu.

Ia juga bagi memberikan penerangan secara lisan kepada penjamin-penjamin berhubung syarat dan tanggungjawab penjamin sepanjang tempoh jaminan.

Kelmarin Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, isu pentadbiran yang mengganggu hak individu untuk diikat jamin mengikut undang-undang, berisiko melanggar prinsip kardinal.

Beliau menjelaskan, ini kerana hak untuk diikat jamin adalah hak asasi manusia dan berperlembagaan yang perlu kerajaan hormati tanpa sebarang persoalan.

Justeru atas dasar itu, katanya, isu berhubung dakwaan penutupan awal kaunter ikat jamin di sebuah mahkamah di sini pada Khamis lalu sehingga menyebabkan enam tertuduh terkandas di penjara, akan diteliti dalam masa terdekat.

“Hingga kini, semakan masih dibuat dengan pentadbiran mahkamah berhubung perkara berkenaan,” ujarnya. -MalaysiaGazette