Dr Muhammad Radzi Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan baharu berkuatkuasa 21 April lalu.

Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa dalam pengumuman hari ini berkata, pelantikan Muhammad Radzi berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas beliau dalam bidang perkhidmatan kesihatan negara.

Muhammad Radzi merupakan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan yang baharu.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah, Ketua Penyelaras Perubatan Negeri Kedah dan Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Kedah.

Muhammad Radzi  juga pernah dilantik sebagai Ketua Perkhidmatan Gastroentrologi dan Hepatologi dan menjadi pengerusi pentauliahan bidang kepakaran tersebut dari tahun 2013 sehingga 2021.

“Saya yakin dengan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran serta kredibiliti Datuk Dr Radzi mampu memberikan yang terbaik dan menjadi rakan pasukan bersama saya.

“Dalam memastikan matlamat dan agenda reformasi kesihatan negara dilaksanakan secara menyeluruh selaras dengan Kertas Putih Kesihatan yang sedang dibangunkan.

“Agar masyarakat Malaysia Madani dapat terus menikmati perkhidmatan kesihatan yang komprehensif, berkualiti serta mapan,” kata Zaliha dalam kenyataan.

Muhammad Radzi mengantikan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang bersara wajib bulan ini selepas 55 tahun berkhidmat dalam sektor kesihatan awam negara.-MalaysiaGazette