Hantaran yang dimuat naik Nazir Razak di Instagram beliau hari ini.

KUALA LUMPUR- Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dimasukkan ke hospital sebelum sambutan Aidilfitri yang lalu akibat terjatuh ketika berkebun.

Perkara itu dikongsikan Tan Sri Nazir Razak menerusi hantaran di Instagramnya hari ini.

Menurut bekas Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Bhd. itu, Musa terpaksa menjalani pembedahan otak pada 18 April lalu disebabkan insiden berkenaan.

Bagaimanapun katanya, bekas Timbalan Presiden UMNO itu semakin pulih dan sudah boleh berjenaka seperti selalu.

“Tun Musa nampak sihat!

“Berpeluang menziarahi Tun Musa Hitam di hospital hari ini.

“Beliau terjatuh ketika berkebun dan perlu menjalani pembedahan minggu lepas.

“Beliau menyambut hari lahir ke-89 di atas katil pembedahan,” katanya yang memuat naik gambar beliau bersama Musa dan Tan Sri Tony Fernandes.

Nazir juga meminta semua orang untuk mendoakan Musa sembuh sepenuhnya. – MalaysiaGazette