Ahli keluarga yang hadir mendengar bacaan talkin pada pengebumian jenazah Alisha Mardhiah Muhammad Ubaidillah Zikri, 2, dan datuk tirinya Abd. Halim Ismail, 71, di Tanah Perkubuiran Islam Kampung Padang Polis hari ini.

KUALA NERUS – Jenazah datuk dan cucu tiri yang maut dalam kemalangan dua kereta di Kilometer 153, Jalan Jerangau-Jabor, Kemaman, semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Polis, di sini, tengah hari tadi.

Mangsa, Abd Halim Ismail, 71, yang maut di tempat kejadian dan Alisha Mardhiah Muhammad Ubaidillah Zikri, 2, yang meninggal dunia di Hospital Kemaman akibat pendarahan otak, dikebumikan dalam satu liang lahad pada 12.45 tengah hari tadi selepas solat jenazah di kediaman mereka di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit.

Bapa kepada Alisha Mardhiah, Muhammad Ubaidillah Zikri Adnan, 30, berkata beliau tidak menyangka perubahan sikap yang ditunjukkan anaknya petanda beliau akan pergi selama-lamanya.

Beliau yang merupakan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) di  Kuala Lumpur, berkata beberapa hari sebelum kejadian Alisha Mardhiah yang lebih mesra dengan panggilan Icha enggan bermain dengannya dan hanya mahukan ibunya.

“Sejak pulang ke rumah Khamis lepas, Icha seperti tak mahu berenggang dengan ibunya…dengan saya pun dia susah nak dekat.

“Dalam hati memang terasa agak pelik, tetapi saya sangka ia hanya perangai budak-budak. Mungkin juga sebab kami tinggal berjauhan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Polis, hari ini.

Muhammad Ubaidillah Zikri berkata, kemalangan semalam berlaku ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Batu Rakit selepas menghadiri rumah terbuka sepupu isterinya di Perasing.

Menurut beliau, ibu mertuanya, Zaiton Mohamad, 57, masih dirawat di Hospital Kemaman akibat patah paha, manakala isterinya, Nurul Fatihah Azman, 28, yang patah tangan dibenarkan pulang untuk menghadiri majlis pengebumian anak perempuan mereka.

“Menurut doktor, anak dalam kandungan isteri yang berusia lima bulan juga telah meninggal dunia akibat hentakan kuat. Rawatan susulan akan diberikan selepas ini,” katanya.

Dalam kejadian semalam, enam mangsa termasuk Abd Halim dan Alisha Mardhiah maut, manakala tujuh lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka bertembung.

Empat lagi mangsa yang maut ialah Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 23; Nur Syafinaz Naura Saiful Azwan, 2; Tuan Yah Dollah, 61; dan Rosliza Mat Hussin, 38. – Bernama