KUALA LUMPUR – Tular foto seorang jururawat wanita di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang terus melaksanakan tugas walaupun tangannya sedang dipasang alatan drip.
Pengguna Facebook bernama Chun Guan yang berkongsi gambar tersebut menyatakan, beliau merakam foto berkenaan ketika menunggu giliran untuk bertemu doktor.
Menurutnya, jururawat tersebut menyatakan beliau memakai alatan tersebut kerana tidak sihat dan meneruskan tugas kerana kekurangan kakitangan.
“Semasa menunggu surat daripada doktor, saya melihat dia di meja. Eh miss kenapa ambik drip?”
“Oh saya sikit tak sihat…” katanya sambil tersenyum malu.
“Tak ambik cuti rehat ke?”.
“Tak cukup orang la…” Dia tersenyum lagi,” kata Chun Guan.
Menurut Chun Guan, beliau merakam foto tersebut selepas mendapat kebenaran daripada jururawat terbabit.
Jururawat yang berdedikasi itu berasal dari negeri Pantai Timur Semenanjung dan tahun ini gilirannya bertugas pada Hari Raya Aidilfitri.
“Saya telah meminta izinnya untuk mengambil gambar ini tanpa menunjukkan mukanya.
“Dia berasal dari Terengganu dan hanya akan pulang raya tahun depan. (Saya) Rasa bersimpati,” kata Chun Guan.
Sementara itu Ketua Pemuda MCA Nicole Wong meminta pihak berkenaan mengambil maklum mengenai bebanan yang dihadapi oleh petugas kesihatan.
Semangat jururawat wanita itu sangat dikagumi kerana komitmennya menjalankan tanggungjawab meringatkan beban pesakit walaupun pada waktu itu dirinya sendiri tidak sihat.
“Posting ni viral di web. Diharapkan pihak berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya.
“Amat respect dengan semangat jururawat ni, walaupun drip di tangan, kerja tetap diteruskan dan kebajikan orang ramai diutamakan.
“Terima kasih dah semoga dipermudahkan segala urusan,” kata Nicole.-MalaysiaGazette