@malaysiagazette

Seramai 458 keluarga mengambil peluang menziarah banduan di Penjara Penor, Kuantan pada Perjumpaan Khas Aidilfitri pada hari raya ketiga dan keempat. – Timbalan Pengarah Penjara Penor #malaysiagazette #mgnews #penjarapenor #banduanpenjara #ahlikeluargaziarahbanduan #pengarahpenjarapenor #perjumpaankhasaidilfitri

♬ original sound – malaysiagazette – malaysiagazette

KUANTAN – Cuaca panas terik tidak menghalang dua beradik menanti selama enam jam di bawah khemah di perkarangan Kompleks Penjara Penor untuk beraya bersama ayah mereka.

Aidil,10, dan Afif, 7, segak berpakaian baju Melayu dan bersamping dibawa nenek dan ibu saudaranya menaiki kereta dari Muadzam Shah pada pagi raya ketiga ke Penjara Penor, di Kuantan .

Aidil,10 tahun dan Afif, 7 tahun, segak berpakaian baju Melayu ditemani ibu dan bapa saudara sabar menantikan giliran untuk melawat ayahnya di Penjara Penor pada hari raya ketiga

Aidil sekeluarga yang tiba pada jam 10 pagi kemudian mendaftar dan menunggu giliran di bawah khemah yang disediakan Penjara Penor untuk bertemu dengan ayahnya pada jam 4 petang.

”Tak apalah tunggu lama sikit dalam cuaca panas, janji dapat raya dengan ayah. Saya dan adik rindu sangat nak jumpa ayah.

”Hari ini nenek, ibu saudara dan pakcik temankan kami dan datang sama-sama nak beraya dengan ayah juga,” katanya gembira.

Bagi Aidil, raya tidak sama tanpa bapa dan lebih bermakna apabila mereka berpeluang untuk berjumpa insan tersayang walaupun seketika menerusi telefon di tirai besi.

Difahamkan ayahnya menjalani hukuman penjara sejak empat bulan lalu kerana mencuri motosikal dan dijangka dibebaskan pada tahun ini.

Dua beradik itu bersyukur kerana dapat menumpang kasih nenek dan datuknya memandangkan ibu kanak-kanak itu meninggalkan mereka sekeluarga sejak lima tahun lalu.

Siti (bukan nama sebenar) membawa bayi dan anak-anaknya menziarah suaminya yang menjalani hukuman penjara selama lapan bulan di Penjara Penor

Sementara itu, Siti, 24 dari taman Tas, Kuantan menggunakan peluang yang diberikan kepada pihak penjara untuk menziarah suami bersama keluarga mentuanya.

Walaupun menggunakan sistem tempahan beliau terpaksa menunggu lebih tiga jam sebelum ditemukan di dalam bilik khas yang disediakan.

Baginya kemaafan pada hari mulia perlu dihulurkan kepada suami yang kali kedua dipenjarakan yang kini menjalani hukuman selama lapan bulan akibat terjebak dalam kes penyalahgunaan dadah.

“Datang tengok suami dengan adik bongsu dia, adiknya memang sayang abang dia, ini kali kedua abang (suami) di dalam penjara, kita kena bagi sokongan dan datang sekali bawa anak-anak serta mentua.

”Suami dipenjarakan selama lapan bulan, ini kali pertama raya tanpa suami, kami sekeluarga maafkan suami dan tidak sabar tunggu dia keluar nanti,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN :

458 keluarga ziarah banduan Penjara Penor

40 banduan Pahang dapat pelepasan berlesen

Ika bersama tiga rang anaknya dapat berjumpa suaminya dalam Perjumpaan Khas sempena Aidilfiri di Penjara Penor

Ika, 28 , pula menzahirkan rasa kesyukuran kerana dapat berjumpa suami yang kini menjalani perintah reman di Penjara Penor.

”Mujur saya tinggal dekat Baru 11, Kuantan jadi mudah nak ziarah suami di sini. Dia baru ditahan reman sebulan dan kami dalam proses mencari peguam.

”Perjumpaan ini kami pihak keluarga boleh memberikan wang melalui untuk membelikan makanan kepada tahanan berbentuk  hamper dan makanan bermasak, ikut menu yang disediakan,” katanya.

Sebanyak 458 keluarga mengambil peluang menziarah banduan di Penjara Penor sempena Perjumpaan Khas Aidilfitri pada hari raya ketiga dan keempat.

Sesi lawatan dilakukan menerusi tempahan dan secara jumpa terus diberi kepada penghuni beragama Islam bermula dari 8.15 pagi hingga 4.15 petang. – MalaysiaGazette