KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memuji prasarana dan kemudahan yang terdapat dalam perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT).
Beliau yang mencuba sistem pengangkutan tersebut pada hari raya ketiga, Isnin lalu, mendapati kemudahan yang disediakan sangat baik dan disifatkan setaraf dengan negara maju.
Menurut Mahathir, beliau yakin rakyat akan menghargai kemudahan yang disediakan walaupun pembinaannya menelan belanja yang tinggi.
“Umumnya saya dapati seolah-olah saya berada di negara maju. Perjalanannya amat baik. Demikian juga kemudahan yang disedia untuk pelanggan. Stesen juga cukup besar dan dilengkapi dengan lif dan eskalator.
“Saya percaya kemudahan rel ini akan disambut baik oleh rakyat jika kos yang amat tinggi tidak dipedulikan.
“Tahniah saya ucap kepada anggota pengurusan MRT Sungai Buloh – Putrajaya,” kata Mahathir yang berkongsi pengalaman tersebut di media sosial beliau.
Menurut Mahathir, kehadiran beliau untuk mencuba perkhidmatan MRT disambut oleh petugas yang turut mengiringi perjalanan beliau dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu juga berkesempatan melontarkan beberapa pertanyaan mengenai MRT kepada pengawai yang mengiringinya.
“Pada hari ketiga raya saya dan isteri bersama kawan-kawan mencadang mencuba MRT dari Sungai Buloh ke Putrajaya.
“Staff MRT sambut baik cadangan kami. Mereka turut bersama sepanjang jalan. Ini memberi peluang kepada saya bertanya beberapa soalan berkenaan prestasi MRT ini,” katanya.
Perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua (MRT2) mula beroperasi sepenuhnya pada 16 Mac lalu.
Laluan perkhidmatan awam itu akan bermula dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral adalah projek kedua MRT Lembah Klang.
Kemudahan tersebut memberi manfaat kepada dua juta pengguna dari Kwasa Damansara sehingga ke Putrajaya dengan 10 stesen pertukaran dan sambungan di sepanjang jajaran 17 stesen.
Projek MRT memulakan pembinaannya ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pelancaran dilakukan pada 8 Julai 2011. – MalaysiaGazette
Sombong dan bongkak…Tahniah tu sepatutnya ditujukan kepada DS Najib Tun Razak…Beliau lah yg mencetuskan idea dan mengusahakan pembinaan MRT ini. Malah ko lah yg paling kuat menentang usaha DS Najib tersebut. Skrg terhegeh2 muka tak malu