KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) tidak dapat menerima alasan teknikal untuk membatalkan penyiaran tadbir raya pemimpin parti itu yang dirancang pada 10.20 malam pada 21 April lepas.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan yang tidak profesional dan melanggar kontrak oleh stesyen penyiaran TV3.
“Meskipun dalam e-mel yang dihantar kira-kira lima minit sebelum takbir berkenaan dijadual disiarkan, pihak TV3 memberitahu bahawa langkah itu terpaksa diambil kerana “masalah teknikal” sekali gus berjanji akan memulangkan bayaran yang telah dibuat oleh PN sebelum itu.
“Namun sebagai sebuah televisyen ternama dan veteran dalam dunia penyiaran negara, PN beranggapan insiden itu tidak harus berlaku sama sekali.
“Malah alasan “masalah teknikal” sebagai punca pembatalannya juga amatlah janggal dan tidak boleh diterima,” kata Takiyuddin dalam kenyataan.
PN mendesak agar agar pihak pengurusan TV3 dan juga Kerajaan Pusat terutama Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) supaya bersikap jujur dalam isu terbabit.
Beliau menggesa TV3 dan kementerian untuk menafikan berlakunya campur tangan politik dalam pembatalan penyiaran takbir raya berkenaan.
“Integriti TV3 dan KKD sangat bergantung kepada kesediaannya untuk bersikap telus dan profesional, terutama dalam menghormati kontrak dan janji yang dibuat secara sah dan formal,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini media melaporkan, slot takbir raya PN selama lima minit yang dijadualkan untuk siaran di TV3 dibatalkan.
Mengikut jadual rancangan TV3 sebelum ini, terdapat tiga “takbir raya” sempena Aidilfitri – pada jam 9.20 malam, 10.25 malam dan 11.25 malam. – MalaysiaGazette