Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Rumah Terbuka Malaysia Madani sempena Aidilfitri bersama Perdana Menteri dan anggota Kabinet di enam negeri dianggap sebagi terlalu gelojoh dan sangat mencolok mata.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takuyiddin Hassan berkata, jika dilihat daripada sudut mana pun keputusan Putrajaya mengadakan rumah terbuka berkenaan jelas berlebih-lebihan dan keterlaluan.

Tambah beliau, majlis yang akan diadakan di enam negeri yang akan berhadapan dengan pilihan raya itu tidak wajar dipertahankan.

“Enam majlis sambutan hari raya di enam negeri yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri tentulah akan mencetuskan persoalan mengenai motif dan tujuan ia diadakan.

“Langkah sebegini sekiranya dikatakan untuk meraikan hari kebesaran agama serta muhibah umat iaitu Hari Raya Aidilfitri, ternyata jauh tersasar dan jelas akan tercemar.

“Ini kerana ia tidak lagi boleh dipisahkan daripada motif politik dan persaingan pengaruh menjelang PRN yang bakal berlaku beberapa bulan sahaja lagi,” kata Takiyuddin dalam kenyataan.

Beliau menambah, retorik basi dan sumbang kononnya Pas dan PN adalah parti yang ‘menunggang agama’ untuk tujuan politik nampaknya kini berbalik kepada Kerajaan Perpaduan.

Ini kerana Kerajaan pusat sendiri ‘menculik’ majlis penting tahunan Islam itu bagi mencapai matlamat kuasanya.

Takiyuddin menegaskan, majlis sambutan itu turut melanggar konvensyen dan adab hubungan antara Kerajaan Pusat dan Negeri-negeri dari segi wibawa dan bidang kuasa masing-masing.

“Tindakan melangkahi sempadan hormat dan adab antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dalam konteks ini jelas mencabar imej serta maruah negeri-negeri.

“Dan tentulah tidak akan menyumbang kepada hubungan baik dan saling mempercayai antara kedua-dua belah pihak.

“Keadaan ini juga tentulah tidak bermanfaat kepada rakyat dan negara serta usaha dan cita-cita untuk mewujudkan sebuah persekutuan yang kuat dan saling mengukuhkan,” tegas beliau.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung PN itu juga percaya sambutan secara berlebihan berlawanan dengan dasar Putrajaya untuk berjimat berjimat cermat.

Ini sebagaimana yang dinyatakan Perdana Menteri di Parlimen bahawa hutang dan liabiliti kerajaan kini ialah sebanyak RM1.5 trilion atau kira-kira 82% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kata-kata hanya akan membawa makna dan kesan sekiranya ia disusuli dengan langkah dan tindakan yang sama dan senada, bukan sebaliknya,” sindir Takiyuddin.

Dalam pada itu Takiyuddin menggesa Kerajaan Pusat memberi jaminan bahawa agensi dan jentera kerajaan tidak disalahgunakan dalam pengajuran rumah terbuka tersebut kerana jelas ia bermotif politik. – MalaysiaGazatte.