ALOR SETAR – Tiga lagi individu ditahan bagi membantu siasatan kes melarikan seorang lelaki di hadapan sebuah hotel di Shahab Perdana, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita yang berusia lingkungan 39 hingga 42 tahun.
Jelas beliau, tangkapan antara jam 7 hingga 9 semalam dilakukan di tiga lokasi berasingan di sekitar Changlun, Jitra dan Alor Setar susulan tangkapan pertama kelmarin.
“Ketiga-tiga suspek itu direman bermula hari ini sehingga 1 Mei bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, empat suspek ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya, hari ini.
Tambah beliau, mangsa telah ditemui dan motif kejadian masih dalam siasatan.
Media semalam melaporkan polis menahan seorang lelaki yang terbabit dalam kes melarikan seorang pemuda secara salah bersama beberapa individu di hadapan sebuah hotel di Shahab Perdana.
Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan polis selepas bapa mangsa berusia 46 tahun membuat laporan berhubung kejadian itu.
Semalam, tular satu video berdurasi 41 saat di Facebook menunjukkan beberapa individu menolak mangsa secara paksa ke dalam sebuah kereta. – MalaysiaGazette