Dua pemain bola Penang FC terlibat dalam kemalangan di Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

BALIK PULAU – Dua pemain Harimau Kumbang (Penang FC) terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori di Jalan Tun Sardon di sini hari ini.

Kemalangan pukul 3.25 petang itu mengakibatkan pemain tengah, Mohammad Amer Azahar mengalami kecederaan di lutut manakala rakannya, Muhamad Azmeer Aris Nor Rashid  yang merupakan pemain pertahanan tiada kecederaan.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau, Mohd Nasir Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran sebuah lori di lokasi berkenaan pukul 3.32 petang.

SUV pemain bola Penang FC remuk teruk selain terkena tumpah cat akibat terlibat dalam kemalangan membabitkan lori.

Jelas beliau, tujuh anggota bergegas ke lokasi sebelum mendapati sebuah lori yang membawa muatan cat terbakar manakala dua kenderaan remuk dipercayai terlibat dalam kemalangan.

“Hasil siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 32 tahun itu terbakar secara tiba-tiba dan dia sempat melarikan diri.

“Bagaimanapun, kenderaan berat yang di tinggalkan mengundur sendiri dan terkena kenderaan sukan utiliti (SUV) HR-V yang dinaiki dua pemain bola itu.

“Manakala sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita terbabas selepas cuba mengelak kenderaan pemain berkenaan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohd Nasir, lori yang berada dalam jarak 100 meter sebelum mengundur terbakar 80 peratus manakala SUV pemain bola itu terbakar 30 peratus.

“Api berjaya dikawal pukul 4.01 petang dan operasi tamat sejam kemudian susulan kami membersihkan tumpahan cat di atas jalan berkenaan,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video dan gambar menunjukkan dua pemain Penang FC terlibat dalam kemalangan.

Difahamkan, kemalangan berlaku berikutan lori tersebut mengalami kerosakan pada sistem brek sebelum terbakar. – MalaysiaGazette