Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Penerangan PKR mempersoalkan desakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang menggesa Perdana Menteri menggunakan dana parti politik untuk sambutan hari raya anjuran kerajaan.

Razeef Rakimin melihat ia rasional memandangkan ianya merupakan program rasmi kerajaan dan bukannya parti politik.

“Sebelum ini Hassan sendiri pernah menegur untuk tidak mencampur adukkan urusan rasmi kerajaan dan parti politik. Sebaliknya hari ini beliau meminta parti politik menggunakan dana parti bagi majlis kerajaan. Mengapa nada beliau berubah? Adakah kerana isu ini sangat popular?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Razeef, Hassan juga maklum Kerajaan Perpaduan hari ini bukan sahaja terdiri dari Pakatan Harapan (PH) tetapi termasuk juga Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Warisan namun mengapa sasaran beliau hanya tertumpu kepada PH sedangkan beliau maklum program ini adalah program Kerajaan Perpaduan.

Hassan (kiri) dan Razeef

Menurutnya, Hassan yang juga wakil rakyat dari PKR juga menjadikan isu Perdana Menteri India, Indira Gandhi yang pernah didapati bersalah oleh mahkamah India kerana menggunakan helikopter kerajaan untuk berkempen di dalam pilihan raya.

“Adakah tidak ada isu lain yang lebih terkait untuk Hassan jadikan contoh?

“Indira menggunakan helikopter kerajaan untuk berkempen bagi tujuan memenangkan dirinya sendiri, itu jelas salah. Namun apa kaitan dengan Kerajaan Perpaduan menganjurkan sambutan Aidilfitri dengan menjemput rakyat serta mengeratkan hubungan pimpinan kerajaan dan rakyat marhain?” tanyanya.

Menurut beliau, jika ada jentera atau penjawat awam kerajaan terlibat sudah tentu kerana ini adalah program kerajaan namun adalah menjadi kesalahan jika program parti politik mengerah jentera kerajaan.

“Mengapa Hassan sukar memahami perbezaan ini?

“Hassan perlu mencari populariti dengan cara lain seperti membawa isu rakyat terutama di kawasan beliau sendiri dan bukan menegur secara terbuka sedangkan terdapat banyak saluran untuk beliau menegur mahupun memberi cadangan sebagai seorang Ahli Parlimen dan pimpinan Parti Keadilan Rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette