Keadaan motosikal jenis Yamaha LC ditunggang mangsa yang maut di tempat kejadian.

MELAKA – Seorang pekerja kilang yang keluar beraya maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum melanggar tiang lampu pembahagi jalan di Batu Berendam di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, mangsa dikenali Normunira Baharudin, 37, maut di lokasi dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 pagi di hadapan sebuah kilang di Jalan Tunku Abdul Rahman, Batu Berendam.

Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC ketika itu datang dari arah lampu Isyarat Pengkalan Batu menghala ke arah lampu isyarat di hadapan Kawasan Perindustrian Batu Berendam.

“Semasa melalui hadapan sebuah kilang kabel, motosikal mangsa yang merupakan pekerja kilang elektronik di Batu Berendam telah hilang kawalan sebelum terbabas melanggar tiang lampu di pembahagi jalan.

“Akibatnya, mangsa yang ketika itu dipercayai keluar beraya maut di tempat kejadian dan jenazah telah di bawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette