Zakaria.

TELUK KUMBAR – Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) kekal dengan pendirian menolak Projek Pulau Pinang Selatan (PSI).

Timbalan pengerusinya, Zakaria Ismail berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan meskipun Kerajaan Negeri Pulau Pinang sudah menerima kelulusan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Kami tidak terkejut dengan kelulusan yang diberikan namun lebih 6,000 nelayan dalam persatuan ini tidak akan berganjak dengan keputusan menolak projek PSI dilaksanakan kerana ia memberi impak besar buat kami.

“Sudah tentu kami akan mengemukakan rayuan kepada JAS seperti yang pernah kami lakukan pada 2019,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Zakaria, pihaknya akan mengadakan mesyuarat pada Selasa depan bersama 32 unit nelayan negeri ini bagi membincangkan tindakan lain yang akan diambil bagi membantah pelaksanaan PSI.

“Saya tak boleh komen banyak kerana ia membabitkan ramai pihak dan satu sidang media akan dibuat nanti bila kami sudah ada kata putus,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Projek tambak laut di P.Pinang dapat kelulusan EIA

PSI bernilai RM11 bilion membabitkan penambakan laut secara besar-besaran, termasuk pembinaan tiga pulau buatan manusia yang juga sebahagian daripada pelan induk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang. – MalaysiaGazette