Kon Yeow menunjukkan surat laporan kelulusan projek tambak laut yang diperoleh daripada JAS. Gambar ihsan - FB CKY

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang berjaya memperoleh Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi projek tambakan laut Selatan Pulau Pinang atau Penang South Islands (PSI).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kelulusan daripada JAS itu dimaklumkan melalui Setiausaha Kerajaan Negeri menerusi surat pada 11 April  lalu.

“Kelulusan tersebut adalah berasaskan 71 syarat yang ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) bagi projek berkenaan.

“Lanjutan itu, Kerajaan Negeri menerusi rakan pelaksana projek (PDP) PSI kini dalam proses memohon kelulusan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) daripada JAS Pulau Pinang.

Pelan Projek PSI melibatkan tiga buah pulau.

“EMP ini (mengandungi butiran tatacara) bagaimana syarat-syarat yang ditetapkan itu dapat dipatuhi,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Sayuthi Bakar; Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC), Datuk Seri Farizan Darus.

Tambah Kon Yeow, kerja-kerja tambakan hanya akan dimulakan selepas kelulusan EMP diperoleh dan dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.

“Sekiranya kerja-kerja tambakan bermula, ia akan dimulakan dengan ‘Pulau A’ yang mana 700 ekar (daripada keseluruhan ‘Pulau A’ seluas 2,300 ekar) adalah bagi membangunkan Green Tech Park (GTP).

Untuk rekod, PSI merupakan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 4,500 ekar di perairan Selatan Pulau Pinang yang bukan sahaja akan mewujudkan tanah baru untuk pembangunan negeri pada masa hadapan malahan menjadi pendayaupayaan sosial termasuk kepada nelayan setempat serta menyumbang impak positif dalam memacu ekonomi Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri melalui Visi Penang2030 sentiasa cakna dalam memastikan pembangunan di negeri ini dapat disesuaikan dengan perubahan iklim semasa.

“Sejak beberapa tahun lalu kita telah mengambil langkah mitigasi dan adaptasi berkaitan impak perubahan iklim yang merangkumi pelan perancangan strategi jangka panjang.

“Selain itu, saya percaya pada peringkat kerajaan dan badan-badan profesional lain turut mengakui bahawa perubahan iklim sedang berlaku.

“Malah, kerajaan Negeri juga telah mengambil inisiatif bekerjasama dengan UN-Habitat (Program Petempatan Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan Think City bagi pelaksanaan pelan adaptasi iklim semula jadi,” jelas Kon Yeow. – MalaysiaGazette