Gambar hiasan

WASHINGTON – Pras Michel, ahli pengasas kumpulan hip-hop AS Fugees, telah disabitkan bersalah kerana terlibat dalam konspirasi berjuta-juta dolar melibatkan dana 1MDB, yang bertujuan mempengaruhi Rumah Putih di bawah dua pentadbiran selain kerana bekerja sebagai ejen untuk China.

Penyanyi rap berusia 50 tahun itu dengan nama kelahirannya Prakazrel Michel, disabitkan kesalahan oleh juri persekutuan pada Rabu atas peranannya dalam skim yang melibatkan Jho Low yang masih dalam buruan pihak berkuasa.

Low, seorang ahli perniagaan Malaysia, dituduh oleh Jabatan Kehakiman pada 2018 menggelapkan berbilion-bilion daripada dana 1MDB milik dan dikawal kerajaan Malaysia.

Berbilion dolar telah dicuri dari Malaysia dalam skandal 1MDB melalui rasuah dan pengubahan wang haram di peringkat antarabangsa yang menyaksikan bekas perdana menteri Malaysia, Najib Razak, dipenjarakan.

Pendakwa raya berkata Michel, di bawah arahan Low, bersubahat dengan pihak lain untuk melobi pentadbiran bekas Presiden Donald Trump supaya menggugurkan kes terhadap Low pada 2017.

Michel memainkan peranan penting dalam konspirasi meluas untuk mempengaruhi pegawai tinggi kerajaan secara tidak wajar, termasuk presiden Amerika Syarikat dan peguam negara ketika itu, kata Ejen Khas Bertanggungjawab iaitu Harry Lidsk dari Jabatan Kehakiman dalam satu kenyataan.

Mereka juga berkata Michel yang bertindak di bawah arahan Kementerian Keselamatan Awam China, cuba meminta seorang penentang China dihantar pulang ke negara Asia itu.

Michel akhirnya didakwa atas tuduhan melanggar undang-undang kewangan kempen kerana bersubahat dengan Low untuk menyalurkan wang Malaysia dalam kempen pilihan raya presiden 2012 bagi seorang calon yang tidak dinamakan.

Pendakwa raya persekutuan berkata Michel menerima wang itu daripada Low, yang kemudiannya disumbangkan melalui 20 penderma politik. Kedua-dua orang itu, melalui gerak kerja  mereka, memaksa jawatankuasa pengumpulan dana bersama presiden dan jawatankuasa perbelanjaan bebas untuk mengemukakan laporan palsu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan.

Defendan dengan beraninya bersubahat untuk membantu seorang warga asing mencuci berjuta-juta dolar dalam sumbangan kempen tidak sah untuk pilihan raya presiden AS 2012, kata Penolong Pengarah Luis Quesada daripada Bahagian Siasatan Jenayah FBI dalam satu kenyataan pada Rabu.

Michel adalah antara empat orang yang telah didakwa berkaitan skim untuk mempengaruhi pentadbiran Trump supaya menggugurkan kes terhadap Low, dengan pengumpul utama dana Trump Elliott Broidy mengaku bersalah terhadap peranannya dalam skim itu pada 2020, ahli perniagaan AS Nickie Mali Luma Davis mengaku bersalah pada tahun yang sama dan bekas kakitangan Jabatan Kehakiman George Higginbotham mengaku bersalah pada 2018.

Michel telah disabitkan pada Rabu atas 10 pertuduhan termasuk konspirasi, gangguan saksi dan berkhidmat sebagai ejen tidak berdaftar bagi kuasa asing. Hukuman masih belum dijadualkan, tetapi dia berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Seperti yang dibuktikan dalam perbicaraan, defendan terlibat dalam konspirasi meluas untuk menggunakan berjuta-juta dolar dana asing untuk terlibat dalam melobi secara haram dan membuat sumbangan kempen yang menyalahi undang-undang, kata Penolong Peguam Negara Kenneth Polite Jr dari Jabatan Kehakiman.

Keputusan hari ini menunjukkan bahawa sesiapa yang terlibat dalam usaha tajaan asing yang menyalahi undang-undang untuk mempengaruhi pegawai Amerika, pilihan raya atau sistem keadilan jenayah akan dibawa ke muka pengadilan.

–BERNAMA-UPI