Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Khairul Rizam Abu Samah. Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Sudah sampai masanya Kementerian Pendidikan memperkenalkan silibus berkaitan pendidikan politik pada peringkat sekolah sebagai persiapan awal sebelum layak mengundi pada usia 18 tahun.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan, Khairul Rizam Abu Samah berkata, ia perlu diperkenalkan segera untuk membangunkan kesedaran dan kefahaman politik dalam kalangan generasi muda.

Beliau berkata, perkara itu menjadi keperluan mendesak susulan pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun di negara ini dan pendaftaran pemilih secara automatik telah diwartakan berkuatkuasa pada 1 Disember 2023.

“Terpulang kepada anak muda untuk memilih parti mana, tapi pendidikan tentang politik perlu ada.

“Saya sarankan Kementerian Pendidikan mahupun Kementerian Pendidikan Tinggi perlu mengadakan satu silibus untuk memberi kefahaman politik, bukan belajar politik tapi unsur-unsur dan subjek berkaitan dengan politik itu perlu ada.

“Sekurang-kurangnya mereka punya kesedaran dan faham bagaimana nak memilih pemimpin dan sistem politik, perkara ini perlu diterap di sekolah rendah sampai ke institut pengajian tinggi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Khairul Rizam Abu Samah
Temubual bersama Pengerusi GPMS Wilayah Persekutuan, Khairul Rizam Abu Samah ketika di Nasi Kandar Bestari, Sri Hartamas, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 28 APRIL 2023.

Tambah Khairul Rizam, sejarah telah membuktikan tiada satu parti politik pun yang mempunyai majoriti untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022.

“Sepatutnya sekarang pemimpin negara mahu pun politik mula memikirkan bagaimana untuk mewujudkan pendidikan politik di sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti.

“Selain pendidikan, anak muda sekarang mahukan peluang pekerjaan, ia sangat penting kerana perkara yang boleh menjadi masa depan mereka,” katanya lagi.

Menurutnya, Malaysia perlu mencontohi sistem politik di luar negara yang bermula dengan pendidikan.

“Sistem politik luar negara bermula daripada pendidikan politik dari peringkat pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti.

“Guru pra-sekolah akan membuat sistem undi apabila memberi pilihan kepada murid-murid, contohnya, nak aiskrim atau epal.

“Pelajar beratur dan perlu memasukkan dalam peti undi gambar pilihan mereka dan mana yang menang itu yang mereka akan dapat,” katanya.

Selain itu, pemilihan ketua pengawas yang lazimnya dipilih oleh guru-guru di negara ini tidak berlaku di luar negara, ujarnya.

“Pemilihan ketua pengawas lumrahnya akan dipilih oleh guru-guru, siap pilihan guru, kalau nampak ada potensi, pengetua cadangkan, itu jadi pilihan.

“Tapi di luar negara tidak berlaku, dia ada pencalonan, siapa calon boleh jadi ketua pengawas.

“Pelajar perlu beratur dan mengundi, kena masukkan pilihan mereka dalam peti undi untuk memilih siapa yang layak jadi pemimpin dan ketua mereka di sekolah,” katanya.

Pendidikan politik, menurutnya, hanya berlaku secara tidak langsung hanya apabila tiba musim pemilihan Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) di peringkat universiti.

“Sistem pendidikan politik perlu dimulakan bermula dari peringkat pra-sekolah lagi.

“Secara tidak langsung mereka faham politik ini apa, tidak kira politik mana mereka nak pilih, tapi pendidikan itu perlu diterapkan dari kecil hingga besar.

“Sekurang-kurangnya mereka faham perlu mengundi, perlu keluar dan bijak untuk memilih pemimpin mana yang difikir layak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast