Saifuddin Nasution menyampaikan bingkisan raya kepada anggota APMM yang bertugas pada Op Khas Pagar Laut di atas KM Burau di Batu Maung, Pulau Pinang hari ini.

BATU MAUNG – Maritim Malaysia (APMM) menerusi Op Khas Pagar Laut merekodkan 42 tangkapan dengan nilai rampasan berjumlah lebih RM13 juta setakat 25 April lalu.

Operasi di perairan seluruh negara bermula 9 April lalu itu turut berjaya membawa kepada tangkapan 12 kes berprofil tinggi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mengikut pecahan 12 kes berprofil tinggi itu melibatkan tiga kes cubaan menyeludup rokok, pencerobohan bot nelayan asing (3), cubaan masuk pendatang asing (2), kesalahan menyeludup barang kawalan iaitu petrol serta minyak masak (2) dan masing-masing satu kes curi dan rompakan berkumpulan.

Saifuddin Nasution.

Menurut beliau, rompakan kabel melibatkan empat suspek bersenjatakan parang di Pelantar Aurora Producer 1, Tanjung Langsat di Johor pada Isnin lalu merupakan kes pertama membabitkan warga tempatan.

“Selalunya paten jenayah sebegini melibatkan warga asing tetapi buat kali pertama ia membabitkan rakyat tempatan dan mereka juga bertindak mengurung pekerja di pelantar terbabit.

“Kesemua empat suspek itu ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan.

“Selain itu, melalui operasi sama pihak APMM turut melakukan tangkapan kes penyeludupan rokok kontraband di Setiu (Terengganu) dan muara Tok Bali (Kelantan) dan itu antara kes berprofil tinggi yang dikesan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau dan menyampaikan bingkisan raya kepada anggota APMM yang bertugas sempena Op Khas Pagar Laut di atas Kapal Maritim (KM) Burau di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, aset udara APMM dan pengesanan menggunakan radar dilihat mampu memberikan maklumat pergerakan mencurigakan serta isyarat untuk bertindak selepas mengesan potensi ancaman-ancaman.

“Saya anggap Op Khas Pagar Laut berjaya dan ini juga memberi penegasan tentang komitmen tinggi APMM sebagai agensi barisan hadapan yang mengawal perairan negara meliputi sempadan laut, pantai sehingga ke zon ekonomi eksklusif melibatkan jarak sejauh 592,000 ribu kilometer persegi,” katanya.

Op Khas Pagar Laut bermula 9 hingga 30 April itu membabitkan 800 ratus pegawai dan anggota APMM seluruh negara. – MalaysiaGazette