Anwar Ibrahim bersalam dengan rakyat sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, Selangor.

KUALA LUMPUR – Tidak seharusnya wujud prasangka buruk terhadap penganjuran majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan hanya dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan sahaja.

Sebaliknya semua parti termasuk negeri yang ditadbir Pas menganjurkan majlis sambutan Aidilfitri dan secara sinis Perdana Menteri berkata, parti itu kadangkala melaksanakannya jauh lebih mewah.

“(Saya) tidak bertindak balas atas semangat raya, Aidilfitri.
Semua negeri buat, kita tidak boleh buat kenyataan yang menzahirkan sikap prasangka dan buruk sangka terhadap orang.

“Semua kerajaan negeri buat, kerajaan di bawah PH buat, bawah Barisan Nasional buat, bawah Pas pun buat kadang-kala mewah,” kata Anwar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berswafoto bersama para jemaah ketika hadir menunaikan solat jumaat di Masjid Jamiul Ehsan, Sungai Buloh, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 28 APRIL 2023.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Kerajaan Perpaduan ‘menunggang agama’ demi politik kerana menganjurkan rumah terbuka di enam buah negeri yang akan melangsungkan pilihan raya.

Menurut Anwar, penganjuran rumah terbuka itu hanya bertujuan bertemu dengan rakyat.

“Yang penting jaga cermat wang rakyat untuk belanja bagi makan rakyat setahun sekali. Mereka dapat berdamping dengan kita itu tujuannya,” kata Anwar.

Beliau ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, Selangor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengaminkan bacaan doa selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Jamiul Ehsan, Sungai Buloh, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 28 APRIL 2023.

Semalam Takiyuddin berkata, PN bimbang rumah terbuka di enam negeri yang bermula di Kedah pada 29 April ini dan berakhir di Selangor pada 14 Mei bermotifkan politik.

“Enam majlis sambutan hari raya di enam negeri yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri tentulah akan mencetuskan persoalan mengenai motif dan tujuan ia diadakan.

“Langkah sebegini sekiranya dikatakan untuk meraikan hari kebesaran agama serta muhibah umat iaitu Hari Raya Aidilfitri, ternyata jauh tersasar dan jelas akan tercemar.

“Ini kerana ia tidak lagi boleh dipisahkan daripada motif politik dan persaingan pengaruh menjelang PRN yang bakal berlaku beberapa bulan sahaja lagi,” kata Takiyuddin.

Beliau menambah, retorik basi dan sumbang kononnya Pas dan PN adalah parti yang ‘menunggang agama’ untuk tujuan politik nampaknya kini berbalik kepada Kerajaan Perpaduan.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ANWAR IBRAHIM ni nampak macam bagus setiap JUMAAT dia bersama rakyat.
    TPM Wak Welanon president ni pulak tak nampak-nampak HARI JUMAAT.. wartawan tidak berjaya menghubunginya.
    kalau bab *BERGENDANG* dimana ceruk dia kedepan.

Comments are closed.