Falcao. Foto Football Espana.

KUALA LUMPUR – Spekulasi bintang bola sepak antarabangsa Colombia, Radamel Falcao bakal menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan itu kini semakin menjadi kenyataan.

Ia selepas pemilik Harimau Selatan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan kehadiran penyerang prolifik itu di laman Twitter miliknya.

Menerusi ciapan itu, Tuanku Ismail yang dikenali sebagai TMJ mendedahkan beliau akan berjumpa dengan bekas pemain sensasi, Atletico Madrid dan Manchester United itu dalam masa terdekat.

Beliau turut menulis JDT31 yang seolah-olah nombor jersi JDT yang bakal dipakai oleh Falcao.

“Jumpa anda dalam masa terdekat,” tulis Tunku Ismail yang turut meletak tanda pagar nama Falcao dan ejen bola sepak, Morris Pagniello.

Sebelum ini, khabar angin mengenai kemasukan Falcao bermula apabila salah sebuah media Sepanyol melaporkan penyerang Rayo Vallecano itu bersedia untuk menyertai juara bertahan Liga Super, JDT.

Kontrak Falcao bakal berakhir pada bulan Jun ini dan menurut laporan media tersebut, dia bersedia untuk mencuba cabaran baharu dengan beraksi bersama JDT.

“Radamel Falcao sedang menilai tawaran yang ada untuk segera menandatangani kontrak bersama juara sepuluh musim terakhir Liga Super Malaysia dan pemenang Piala Malaysia baru-baru ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kini dibimbing oleh Esteban Solari.

“JDT yang dimiliki oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu menandatangani penyerang Colombia itu selama dua musim dan dia akan terus menjadi duta untuk kelab dan bandar itu selepas itu. Sementara menunggu rundingan terakhir, penyerang itu sudah menunjukkan dirinya bersedia untuk menghadapi cabaran baharu,” memetik laporan Marca.

Sekiranya bekas penyerang Chelsea dan Atletico Madrid itu menandatangani kontrak bersama JDT, dia akan menjadi pemain berprofil tinggi kedua yang menyertai skuad Harimau Selatan selepas Pablo Aimar pada 2013.

Falcao mula beraksi bersama Rayo Vallecano sejak musim 2021 di mana sebelum itu menyarung jersi kelab Turki, Galatasaray selama dua musim.

Pemain berusia 37 tahun itu pernah beraksi dengan beberapa kelab ternama di Eropah seperti FC Porto, Atletico Madrid, AS Monaco, Manchester United dan Chelsea.

Dia bakal bersaing dengan Bergson da Silva, Fernando Forestieri dan Diogo Luis Santo di posisi serangan sekiranya disahkan menyertai JDT. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast