KUALA LUMPUR – Tanpa gimik murahan lagi, pengguna laman sosial di saluran Youtube memberi komen positif mengenai lagu raya terbaharu nyanyian jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida berjudul Muah Muah Raya.
Lagu tersebut adalah ciptaan Amy Ukays dan lirik oleh Vida sendiri.
Kali ini, Vida, 52, atau nama sebenarnya Hasmiza Othman berkata, lagu itu dilancarkan tanpa sebarang eleman kontroversi murahan sebaliknya mempertaruhkan kualiti.
“Alhamdulillah, sambutan lagu ini di luar jangkaan dan penerimaan sangat positif. Komen peminat dan masyarakat di media sosial meletakkan ini sebenarnya lagu raya terbaik dan nombor satu tahun ini.
“Malah mereka siap membandingkan dengan lagu raya daripada individu lain. Bagi saya, ia tanda penghormatan dan penghargaan buat lagu ini.
“Insya-Allah, lagu ini akan trending tidak lama lagi. Pertaruhan lagu ini bukan kontroversi murahan tapi kualiti. Pendengar pun suka dan puji suara saya sedap. Saya juga menyasarkan lagu ni menembusi pasaran Indonesia,” katanya.
Pada November tahun lalu, Vida mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen terhadap satu pertuduhan memuat naik komunikasi bersifat sumbang pada Mei lalu membabitkan video muzik Muah Muah Raya.
Vida didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat sumbang dengan niat menyakitkan hati orang lain, pada 29 April lalu melalui akaun YouTube DSV Entertainment.
Mengulas lanjut, dengan bersandarkan kualiti pada lagu itu, Vida berkata Muah Muah Raya bakal menjadi lagu raya yang malar segar dan menjadi pilihan untuk terus didengar setiap kali raya.
“Kali ini saya memang tak nak lancarkan dengan kontroversi. Saya memilih lancar selepas Subuh, jam 6.30 pagi akhir Ramadan lalu. Kalau malam tak sesuai sebab solat tarawih dan malam ganjil. Takkan saya nak lancar lagu kan.
“Kiranya, saya lancar lagu ini berdasarkan kekuatan dan share daripada orang ramai. Kalau nak harap kontroversi ia jangka pendek saja.
“Dengan kualiti yang ada, Insya-Allah lagu ini akan kekal lama dan saya nak ia malar segar. Setiap kali raya, orang ingat dan dengar lagu ini. Bagi saya, lagu ini adalah masterpeace tekno yang ada vibes raya di kampung,” katanya.
Mengenai pemilihan tajuk Muah Muah Raya, Vida berkata bunyi ‘muah muah’ itu sudah menjadi kebiasaan jika seseorang itu saling bersalaman.
“Bagi mereka yang rapat, kalau bersalaman mesti akan bunyikan ‘muah muah’. Dari situ timbul idea nak hasilkan lirik lagu ini. Dalam masa sama, ia sesuatu yang sudah biasa kita dengar.
“Bukan sahaja lirik, tapi konsep lagu dan video muzik juga daripada saya. Walaupun dicipta oleh Amy Ukays tapi saya berikan idea yang mana nak vibes yang lain dan betul-betul raya.
“Macam dalam MV, saya ada libatkan Cik B, Kacak dan kanak-kanak lain. Saya nak ada eleman kekeluargaan. Walaupun susah nak aturkan budak-budak tapi dapat juga buat di mana saya puas hati dengan hasilnya,” katanya.
Sementara itu, lagu dan video muzik rasmi Muah Muah Raya boleh ditonton di saluran Youtube Seventeen Eleven Music https://youtu.be/7eHTtOiT90w. – MalaysiaGazette